Header Ads

'Info baru' sahkan Najib bayar Shafee RM9.5 juta


Pejabat Peguam Negara (AGC) telah menyerahkan "maklumat baru" kepada Mahkamah Rayuan yang menunjukkan perdana menteri pada ketika itu Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah antara tahun 2013 dan 2014.
Bukti baru itu diserahkan kepada pegawai petugas khas peguam negara dalam suatu afidavit yang turut memperincikan urusan transaksi bank antara akaun milik Najib dan Shafee.
Ia turut menyertakan dua salinan cek oleh Najib bertarikh 11 September 2013 dan 14 Februari 2014 kepada Shafee masing-masing sebanyak RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

Loading...

Afidavit itu dibuat sebagai maklum balas kepada rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan mengenai kes liwatnya yang telah mendapat pengampunan diraja.
Anwar ketika perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah beliau dinafikan perbicaraan yang adil kerana pihak pendakwaan menerima bayaran daripada Najib, yang juga pencabar politiknya.
Anwar dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya berkata beliau menerima afidavit tersebut yang menyertakan keterangan mengenai bayaran RM9.5 juta itu.
"Pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi peguam negara, dan lebih ganjil lagi bila yang dilantik itu seorang kenalan rapat Datuk Seri Najib, yang terlibat secara material di dalam kes tersebut.
"Tan Sri Shafee juga menjadi saksi kejadian konspirasi terhadap saya yang berlaku di dalam kehadiran Datuk Seri Najib, yang membuatkan kedua-dua pihak ini berkemungkinan menjadi saksi.
"...Tan Sri Shafee telah menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Datuk Seri Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes saya menghancurkan kredibiliti beliau sebagai seorang agen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah," kata Anwar.
Anwar pada tahun 2010 dituduh dan dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Saiful, sebelum menuduh Anwar meliwatnya, telah secara peribadi bertemu dengan Najib. Bekas perdana menteri pada waktu itu berkata Saiful bertemu dengannya untuk membincangkan biasiswa.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar daripada salah laku tetapi pihak pendakwaan merayu kes itu di Mahkamah Rayuan, kali ini dengan Shafee ditugaskan sebagai pendakwa raya luar.
Mahkamah Rayuan telah menolak keputusan pembebasan Anwar pada tahun 2014 dan Mahkamah Persekutuan menegaskan keputusan itu sekali lagi pada Februari 2015.
Anwar kemudiannya dipenjarakan dan dibebaskan pada Mei tahun ini, berikutan pengampunan diraja selepas perubahan kerajaan persekutuan.
Anwar berkata perlu ada iltizam teguh terhadap kedaulatan undang-undang dalam "Malaysia baru" dan kewibawaan badan kehakiman serta badan perundangan mesti dikembalikan semula.
"Saya gesa pihak yang bertanggungjawab untuk menjaga institusi-institusi kita untuk mempertimbang langkah-langkah memperbetul keadaan agar rakyat Malaysia malah juga dunia yakin terhadap integriti sistem perundangan kita," katanya.
AGC berkata maklumat baru itu muncul selepas SPRM membekukan akaun bank Shafee dan memulakan siasatan kes pengubahan wang haram. - Malaysiakini

No comments

Loading...