Header Ads

Ibu kepada penyamun kedai dobi serah anak kepada polis, seorang lagi diburu

Foto: Kosmo

SEORANG daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 21 tahun dari Nibong Tebal yang dipercayai memegang parang dalam kejadian itu ditahan pada 1.30 tengah hari.


Loading...

“Suspek ditahan selepas ibu suspek membawanya ke IPD Kuala Muda untuk tindakan susulan pihak polis dan berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.

“Kami turut menahan isteri suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan kerana isteri suspek berada sekali dalam kereta ketika suspek menyamun mangsa dan kedua-duanya akan direman bermula esok.

“Kami turut menggiatkan usaha untuk memburu seorang lagi suspek dipercayai rakan mangsa berusia 20-an dipercayai terbabit dalam kejadian samun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Katanya, terdapat tiga premis disamun suspek kerana terdapat satu lagi kedai runcit 24 jam di kawasan sama menjadi sasaran kedua-dua suspek selepas dua kejadian samun sebelum itu.

“Kejadian samun ketiga itu berlaku antara tempoh satu hingga satu setengah jam selepas kedua-dua kejadian samun sebelum itu dan suspek dipercayai turut melarikan sejumlah wang tunai dari kedai berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat dan tiada mangsa tercedera dalam kejadian berkenaan, malah ujian air kencing mendapati suami isteri terbabit positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata.

NSTP semalam melaporkan, dua lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam dalam tempoh 15 minit di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani menyebabkan kerugian RM14,500.

Dalam kejadian pertama pada 7 pagi, kedua-dua lelaki berkenaan menyamun pensyarah wanita berusia 37 tahun ketika membasuh pakaian bersendirian di kedai dobi 24 jam sebelum menyamun dua lagi kedai runcit 24 jam di Taman Ria.

Terdahulu, Mior Faridalathrash bersama Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Datuk Mat Kasim Karim menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua JSPT Kedah yang baru antara Superintendan Zahari Mohamed dengan Deputi Superintendan Chuah Seong Lim.

Zahari, 57 yang memegang jawatan itu sejak 2016 akan bertugas sebagai Penolong Pengarah (Kesejahteraan/Organisasi) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan tempatnya itu kini digantikan Chuah, 55, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar. - Harian Metro

No comments

Loading...