Header Ads

Husam persoal K'tan beli kereta mewah untuk pegawai kanan


Tindakan Kerajaan Kelantan membeli sekurang-kurangnya sebuah kereta mewah bagi kegunaan pegawai kanannya dipersoal, ketika negeri berkenaan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan Senator Husam Musa dalam tegurannya berkata jika tindakan tersebut benar maka adalah wajar bagi Kerajaan Persekutuan untuk menyemak kembali peruntukan yang diberikan kepada kerajaan negeri berkenaan ketika ini.

Loading...

"Bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan harus digunakan untuk membayar emolumen bagi pegawai tadbir awam dan bukan untuk membayar gaji (penjawat awam) lantikan politik yang terlalu banyak.
“Jadi perbelanjaan (Kerajaan Kelantan) boleh disemak untuk diaudit. Kalau penggunaan untuk tujuan asal (bayaran emolumen penjawat awam) Kerajaan Persekutuan boleh bagi, tapi kalau peruntukan disalahguna kita kena kaji balik," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat sempena Awal Muharram yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith di Kubang Kerian di Kota Bharu, hari ini.
Sabtu lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilaporkan berkata Kerajaan Kelantan merupakan penerima terbesar bantuan kewangan defisit dan bantuan kewangan pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM913 juta.

Lim dipetik sebagai berkata dari 2013 hingga 2017, Kelantan menerima sebanyak RM363 juta bantuan kewangan defisit, yang merupakan pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus.
- Bernama

No comments

Loading...