Header Ads

HSR: Singapura setuju tangguh tanpa pampasan, kata Azmin


SHAH ALAM, 3 Sept    Malaysia dan Singapura  bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sehingga ke suatu tempoh yang akan ditetapkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira faktor situasi ekonomi negara yang tidak kukuh buat masa ini.

“Kita (Malaysia dan Singapura) telah mencapai kata muafakat bagaimana kita dapat menyelesaikan pertindihan projek ini...dengan keadaan ekonomi, Malaysia tidak mampu meneruskan projek ini.

Loading...


“Singapura bagaimanapun bersetuju dengan pandangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan projek ini sehingga ke satu tempoh ketika keadaan ekonomi kembali pulih,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Mohamed Azmin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa ditemui selepas menghadiri istiadat perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14, yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata keputusan itu juga dibuat selepas pihaknya mengadakan beberapa siri rundingan bersama kerajaan Singapura baru-baru ini.

Jelas beliau, hasil daripada perbincangan itu, Malaysia tidak perlu membayar sebarang pampasan kepada Singapura sepanjang tempoh penangguhan tersebut.

“Tiada pampasan akan dibayar dalam tempoh penangguhan itu, di akhir penangguhan kemudian (sekiranya) dibatalkan, baru kita bayar.

“Selepas penangguhan pastinya kita akan teruskan. Kita juga akan teruskan perbincangan bagaimana kita boleh kurangkan kos projek itu, kemungkinan mengguna pakai  teknologi baharu atau melihat kepada aspek lain,” katanya.

Tambah Mohamed Azmin, perbincangan selanjutnya dengan kerajaan Singapura selepas ini akan menjurus kepada pengurangan kos projek serta fokus perkhidmatan antarabangsa yang dilihat dapat memberi kesan baik kepada kedua-dua negara termasuk dari segi pertumbuhan ekonomi.

Katanya lagi, HSR mempunyai dua komponen iaitu ‘International Service’ yang melibatkan perjalanan dari Singapura ke Malaysia serta ‘Domestic Service’ yang melibatkan tujuh hentian sepanjang perjalanan.

“Kita akan fokus pada ‘International Service’ ini,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan Malaysia akan berunding dengan Singapura untuk menangguhkan pelaksanaan projek kereta api itu berikutan tidak dapat meneruskannya dalam keadaan kewangan negara pada masa ini. — Bernama

No comments

Loading...