Header Ads

Guan Eng bidas Najib merungut SST kuih pau


Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini membidas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertikai pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Lim berkata, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib tidak mendengar rungutan rakyat yang perlu membayar cukai bagi setiap barangan, namun selepas pelaksanaan SST Anggota Parlimen Pekan itu pula mula membuat rungutan.

"Saya hairan kerana bila dia (Najib) kenakan GST masa itu dia tak 'merungut', masa itu (GST) enam peratus. Sekarang pun enam peratus, mengapa masa itu dia tak ‘merungut' sekarang nak 'merungut'.


Loading...

"Kita harap bekas perdana menteri janganlah cuba jadi wira sekarang. Bila masa dia kenakan GST enam peratus jauh lebih teruk. Sekarang (SST) kita tetapkan amat longgar berbanding dengan dulu.

"Rupanya hanya sekarang beliau sedar pergi kedai kena bayar enam peratus, sebelum itu dia tak sedar semua kedai kena enam peratus," katanya pada sidang media, di George Town hari ini.

Najib dalam catatan di akaun Twitter miliknya semalam, meluahkan rasa tidak puas hati selepas kuih pau yang dibelinya dikenakan SST selain turut memuat naik gambar resit diterimanya yang turut disertakan jumlah SST sebanyak RM3.80.

"Berhenti di kedai Pau Yik Mun, Tg (Tanjung) Malim untuk membeli pau. Jelas SST dikenakan walaupun kedai ini sederhana kecil! Kedai pau pun kena SST," tulis Najib dalam status tersebut.

Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan berkata, pelaksanaan SST berbeza dengan GST kerana hanya satu pertiga barangan sahaja dikenakan cukai SST berbanding GST yang dikenakan ke atas semua barangan.

Beliau turut mengulangi SST hanya dikenakan kepada restoran yang memperoleh pendapatan atau nilai ambang sebanyak RM1.5 juta dan pengecualian SST diberikan kepada penyewaan warung kecil dan penjualan rokok kepada para pengendali kedai makanan dan minuman.

"Di bawah SST kita longgar sikit, kita tetapkan pendapatan setahun atau nilai ambang adalah RM1.5 juta...tiga kali ganda lebih tinggi daripada GST. Jadi, bukan semua yang kena, hanya yang ada pendapatan lebih RM1.5 juta dia punya bisnes baik, baru kena bayar SST.

"Bukan macam GST dia sapu habis. Itu sebab kita sebut GST 'cukai sapu bersih' kerana semua tak terlepas. Buat bisnes pun kena, tak buat bisnes pun kena, tak ada gaji, orang miskin pun kena bayar (GST)," katanya.

Berkuatkuasa 1 Sept, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.
Sebelum ini, GST mula dikuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus oleh kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

- Bernama

No comments

Loading...