Header Ads

Gara-gara tawar khidmat seks pada polis, wanita dipenjara sebulan


Seorang wanita terpaksa meringkuk di dalam penjara selama sebulan akibat menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis.

Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki menjatuhkan hukuman itu terhadap S.L. Mahaletchumy, 37, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Hotel Sun Ya, di Jalan Raja Laut, di Kuala Lumpur pada 7.15 malam, 14 Sept lepas mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Loading...


Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara itu mulai tarikh tangkap pada 14 Sept lepas.

Di mahkamah sama, seorang pengawal keselamatan, Sani Ghazali,38, dihukum penjara tujuh hari selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis coklat bernilai RM126 di Pasaraya Aeon, Mid Valley di sini pada 10.45 malam, 15 Sept lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Di Mahkamah Majistret berlainan, seorang pekerja kedai besi buruk, T.D. Murugesaan, 30, dijatuhi hukuman penjara setahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri sebuah van berharga RM8,000 di Sri Rampai, Wangsa Maju, pada 1 Mei lepas.

Majistret Wong Chai Sia memerintah Murugesaan yang tidak diwakili peguam itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada 1 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

- Bernama

No comments

Loading...