Header Ads

Exco dakwa peruntukan RM34 juta untuk nelayan di Melaka 'hilang'

Gambar hiasan

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee hari ini mendakwa kononnya sebanyak RM34 juta peruntukan yang sepatutnya disalurkan sejak 2010 bagi menjaga kebajikan nelayan di negeri ini 'hilang'.

Beliau berkata peruntukan berjumlah RM39 juta diperoleh daripada pelbagai sumber antaranya pampasan projek tambakan laut untuk nelayan sejak 2010 hingga kini, namun pihaknya kini mendapati hanya RM5 juta disalurkan kepada nelayan dan bakinya gagal dikesan.


Loading...

"Jadi mana duit (baki) itu pergi ? Apa yang saya tahu duit itu dah tiada lagi, hanya (ada rekod) atas kertas sahaja," katanya kepada pemberita pada majlis pelepasan 40,000 benih ikan Lampam Sungai di perairan Sungai Tehel di Jasin hari ini.

Bagaimanapun, di sebalik kekangan peruntukan pihaknya mengambil langkah proaktif merangka pelan induk dalam usaha menangani pelbagai isu melibatkan nelayan negeri ini agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Antara yang diberi penekanan dalam pelan itu ialah isu pampasan, elaun dan kebajikan nelayan bagi memastikan setiap bantuan disalurkan sampai kepada golongan sasar.

"Bagi merelisasikan hasrat itu, kita akan mengadakan sesi dialog dengan nelayan seluruh negeri untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu terbabit dan isu lain yang perlu diselesaikan segera," katanya.

Sementara itu, Norhizam berkata Jabatan Perikanan Melaka melepaskan kira-kira 1.59 juta benih ikan daripada pelbagai spesies dan udang sejak tahun 2003 di sungai negeri ini bagi membantu menambah dan mengekalkan sumber ikan asli di perairan umum.

- Bernama

No comments

Loading...