Header Ads

Dana parti: 'Itu wang UMNO', tegas Najib


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sekali lagi menegaskan bahawa wang tunai termasuk mata wang asing yang dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam beberapa serbuan di ibu negara baru-baru ini adalah milik UMNO dan mahu ia dikembalikan.

Najib berkata, Presiden UMNO ditugaskan untuk mengendali semua aset parti termasuk menerima sumbangan politik daripada ahli perniagaan, korporat, individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, Presiden UMNO juga ditugaskan untuk mengalih dan membuat pembayaran untuk keperluan parti pada masa pilihan raya dan semua hak itu ada ditulis di dalam perlembagaan UMNO dan sudah menjadi satu kelaziman sejak zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Berita Harian hari ini.

“Malah, ada satu klip video tular yang merakamkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku di dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi pada 6 September 2015 (selepas digantikan sebagai timbalan perdana menteri) bahawa beliau sendiri tidak mempersoal amalan dana khas presiden kerana itu ialah kebiasaan untuk diuruskan oleh presiden sejak dahulu lagi.

Loading...

“Dr Mahathir juga pernah mengaku secara terbuka bahawa beliau menyerah sebanyak RM1.4 bilion dalam bentuk wang tunai dan saham kepada Tun Abdullah Badawi apabila melepaskan jawatan Presiden UMNO.

“Walaupun saya pernah menyarankan untuk mewujudkan satu akta berkaitan sumbangan politik, ia ditolak oleh Pakatan pada masa itu. Justeru sumbangan dana politik tidak melanggar mana-mana undang-undang negara ini,” kata Najib menerusi catatan terbaru beliau di laman Facebook, hari ini.

Bekas Presiden UMNO itu berkata, ketika pilihan raya umum, kebanyakan sumbangan daripada ahli perniagaan atau individu adalah dalam bentuk wang tunai dan ia juga diagihkan secara tunai kepada seluruh 222 kawasan Parlimen serta 505 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Najib berkata, ketika Dr Mahathir membina Pejabat Perdana Menteri dan Seri Perdana, Perdana Menteri itu turut membina bilik kebal dan peti besi di kedua-dua tempat berkenaan.

Katanya, itulah tempat di mana wang tunai yang diterima disimpan untuk tujuan kegunaan operasi politik dan pilihan raya termasuk bayaran bil serta operasi semua cawangan parti.

“Selepas Barisan Nasional (BN) kalah tidak terjangka dalam pilihan raya lalu, wang tunai yang dikumpul itu kemudiannya dipindahkan oleh pegawai-pegawai ke satu pangsapuri di Pavilion, Kuala Lumpur sebagai langkah sementara.

“Difahamkan, ketika wang itu di dalam pemindahan baru-baru ini, ada beberapa pegawai yang ditugaskan mengambil RM3.5 juta untuk diri sendiri dan mereka juga sudah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun, sebelum UMNO sempat membuat keputusan bagaimana untuk mengendalikan wang tunai itu dan sementara menunggu keputusan pemilihan parti (siapa akan mengambil alih jawatan presiden), pangsapuri di Pavilion Kuala Lumpur itu kemudian diserbu oleh PDRM dan wang tunai berkenaan turut disita,” katanya.



Najib berkata, Dr Mahathir sememangnya tahu mengenai kewujudan wang tunai parti yang banyak di pejabat Perdana Menteri ketika pilihan raya kerana beliau juga melakukan perkara yang sama sewaktu memegang jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Katanya, PDRM juga tahu mengenai kedudukan wang itu kerana pemindahan daripada Pejabat Perdana Menteri oleh pegawai bukanlah satu rahsia.

“Wang ini ialah wang parti. Oleh itu, UMNO menyediakan barisan peguam untuk berunding dengan pihak kuasa bagi menuntut kembali wang berkenaan.

“Memang tiada wang tunai begitu banyak di simpan di pangsapuri Pavilion ataupun rumah saya sebelum pilihan raya dan wang tunai yang disimpan di Pejabat Perdana Menteri pada waktu bukan pilihan raya juga tidak begitu banyak.

“Mengapa pula ada isu mengenai mata wang dari 27 buah negara?” katanya.

Najib juga berkata, selain pangsapuri di Pavilion, PDRM juga menyerbu rumah dua anaknya yang berdekatan dan kediaman peribadinya yang terletak di Jalan Duta.

Kata Najib, setiap sen dan helai wang kertas sama ada dalam mata wang tempatan atau asing, dirampas oleh PDRM.

Tegas beliau, sesiapa yang sering melawat dan bertugas di luar negara, semestinya mempunyai baki mata wang asing yang belum diguna disimpan dalam kediaman mereka dan ia tidak terkecuali dengan keluarganya.

Katanya, sebahagian besar wang yang disita ialah dalam mata wang Ringgit termasuk ada satu jumlah ialah dalam wang Singapura kerana ada penyumbang tertentu memilih untuk menderma dalam bentuk mata wang itu.

“Namun, mata wang asing hanya dalam jumlah yang kecil. Walaupun sebelum ini saya pernah mengulas mengenai isu terbabit kepada beberapa media tempatan, saya memilih untuk membuat penjelasan mendalam hari ini kerana meskipun banyak usaha dan rundingan sudah dilakukan, tetapi PDRM masih tidak mahu mengembalikan wang itu kepada parti.

“Ia sudah melangkaui tempoh tiga bulan, mengikut undang-undang Ia perlu dikembalikan jika tiada dakwaan dibuat mengenai aset yang disita,” kata Najib yang turut berjanji akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sitaan barang kemas dan beg tangan yang menjadi topik perbualan ramai.

No comments

Loading...