Header Ads

Bukan 'kongsi gelap', mesyuarat parti patut tentukan kerusi Anwar

Zuraida Kamarudin - Foto The Malaysian Insight

BATU KAWAN, 11 Sept — Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin mencadangkan agar parti itu mengadakan mesyuarat rasmi dalam kalangan pemimpin tertinggi parti bagi membincangkan secara teliti kerusi Parlimen untuk ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perbincangan bagi membuat keputusan berhubung perkara itu tidak hanya boleh dilakukan membabitkan dua atau tiga pemimpin sahaja seperti didakwa Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.


Loading...

“Saya rasa (naib presiden PKR) Tian Chua mengeluarkan kenyataan berhubung adakah PKR sebuah parti kongsi gelap itu merujuk kepada kenyataan Rafizi yang mendakwa perbincangan berhubung kerusi Parlimen untuk (ditandingi) Anwar melibatkan dua tiga orang sahaja.       

“Jadi saya sebagai pemimpin tertinggi dalam parti PKR mencadangkan agar satu mesyuarat rasmi diadakan bagi tujuan itu,” kata Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di Batu Kawan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Chua yang kecewa dengan calon bagi jawatan timbalan presiden, Rafizi kerana mengenepikannya dalam perbincangan berhubung keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk membolehkan Anwar yang sudah menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR untuk bertanding.        

“Setahu saya yang dalam pimpinan tertinggi, memang tiada sebarang mesyuarat rasmi untuk bincangkan (kerusi Parlimen untuk (ditandingi) Anwar) tetapi tidak tahulah kalau geng “kongsi gelap” yang dah buat.. media kena tanya geng “kongsi gelap” kerusi mana untuk presiden PKR sebab saya tidak tahu,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...