Header Ads

'Baru empat bulan dah teruk, apa lagi kalau 60 tahun'


KUALA TERENGGANU - Kerajaan PH yang baru mentadbir negara empat bulan didakwa lebih teruk daripada Umno-BN yang memerintah selama enam dekad ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemerintahan PH lebih dahsyat hinggakan kes yang telah didakwa di mahkamah juga diselesaikan begitu sahaja.

“Kalau dulu Umno sudah memerintah 60 tahun, ada juga menteri besar, menteri yang dibawa ke mahkamah sebab kes rasuah yang dipenjara pun ada.


Loading...

“PH baru memerintah berapa bulan? Bawa ke mahkamah diselesaikan begitu sahaja. Memerintah empat bulan dah ada masalah apa lagi kalau 60 tahun, lebih teruk daripada Umno lagi, lebih dahsyat, ini yang kita alami,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas kali pertama di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi sempat menyampaikan penghargaan ke atas sokongan masyarakat bukan Islam kepada Pas yang menjadi jambatan kepada parti.

“Terima kasih kepada yang hadir, besar maknanya kepada kami. Terima kasih jadi jambatan menghubungkan Pas dengan masyarakat bukan Islam,

“Usaha ini bukan mudah kerana Pas juga berdepan Melayu Islam yang payah. Setelah mereka ketinggalan daripada agama mereka sendiri.

“Kerana mereka dididik oleh penjajah sehingga mereka tak tahu bahawa Islam itu lain, Melayu itu lain. Bila masuk Islam dikatakan masuk Melayu,” katanya.

Katanya,  orang bukan Islam hanya melihat Islam sebagai agama sedangkan Islam adalah Addin yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia bukan sahaja urusan agama, termasuk politik, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain.

“Tanggungjawab kita ialah nak memperkenalkan politik Islam dan pemerintahan Islam tanpa peduli agama yang dianuti. Walaupun kewajipan kita sebagai orang Islam ajak orang masuk Islam.

“Tapi kita dilarang memaksa orang yang bukan Islam. Kita diwajibkan ALLAH berlaku adil dan memperkenalkan politik Islam ini,” katanya. - Sinar Harian

No comments

Loading...