Header Ads

Anwar ‘tidak bimbang’ Umno bincang dengan Dr Mahathir


SINGAPURA ― Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi bahawa beliau tidak tergesa-gesa untuk menjadi perdana menteri akan datang kerana negara ketika ini memerlukan kestabilan dan seorang pemimpin yang kuat.

Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai presiden PKR dan juga ketua umum Pakatan Harapan yang kini memerintah Malaysia, berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau mahukan proses peralihan jawatan nombor satu itu diadakan lebih awal atau lewat.

“Proses peralihan yang telah dipersetujui ialah (Perdana Menteri) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menguruskan hal-ehwal negara dan kami menyokong beliau. Ini yang penting.

Loading...


“Dan saya tidak fikir yang kami patut tergesa-gesa melakukannya kerana beliau (Dr Mahathir) memainkan peranan amat penting demi negara... saya mahu memastikan beliau efektif dalam kedudukannya,” tegasnya.

Anwar ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Dialog Pembiayaan S. Rajaratnam, program penting dalam Sidang Kemuncak Singapura 2018 yang diadakan di Hotel Shangri-La di sini.

Berhubung sama ada beliau bimbang bahawa Umno telah menghubungi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti Dr Mahathir, untuk bergabung, Anwar yang telah memilih kerusi parlimen Port Dickson bagi membuka laluan untuk kembali aktif dalam politik, berkata beliau tidak bimbang.

“Kenapa bimbang? Mereka boleh hubungi mana-mana anggota gabungan Pakatan. Ia bukan satu masalah.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berita bahawa pengamal media veteran A Kadir Jasin mendakwa wujud desas-desus bahawa pemimpin Umno termasuk presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah bertemu pengerusi PPBM Dr Mahathir untuk membincangkan penggabungan Umno-PPBM.

“Yang jelas, mereka (pemimpin Umno) tidak lagi bercakap tentang Umno tetapi tentang Pekembar... iaitu nama pendek Umno dalam bahasa Melayu.



“Desas-desus itu ialah mereka mahu menerokai kemungkinan menggabungkan Pekembar dengan Bersatu untuk membentuk Pekembar Bersatu,” mengikut catatan Kadir dalam blog peribadinya.

Berhubung sama ada beliau mengalu-alukan Umno untuk menyertai Pakatan, Anwar berkata: “Pastinya bukan sekarang. Kami juga tidak pernah menimbangkan perkara ini. Mereka (Umno) bersama-sama PAS pagi ini pada muktamar PAS.”

Ditanya jika perkara itu boleh berlaku di masa depan, Anwar menjawab: “... kes di masa depan Que sera sera [whatever will be, will be, apa pun yang akan berlaku, akan berlaku]. Tetapi buat masa ini, pastinya tiada dalam pertimbangan.”

Kepada soalan sama ada anaknya Nurul Izzah atau isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah  Wan Ismail, yang ketika ini ialah timbalan perdana menteri, patut memegang jawatan kabinet apabila beliau menjadi perdana menteri nanti, Anwar berkata: “Pendirian kami ialah Wan Azizah perlu meletak jawatan apabila saya mengambil alih jawatan perdana menteri.”

“Perkara ini telah diumumkan sejak awal lagi. Dan bagi Nurul Izzah, kita akan lihat apa kedudukannya. Saya tidak tahu dan tidak mahu buat spekulasi. Tetapi apa yang penting sekarang ialah Azizah tidak akan berkhidmat dalam kabinet. Ini yang penting,” katanya.

Nurul Izzah kini ialah anggota parlimen Permatang Pauh. ― Bernama

No comments

Loading...