Header Ads

Anwar: 'Saya maafkan dia walaupun dia sumbat saya masuk penjara'


KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meskipun beliau ‘memasukkan’ Anwar ke dalam penjara.

Begitupun, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan kemaafan itu hanya untuk apa yang telah diperlakukan kepada dirinya, bukan atas apa dilakukan kepada rakyat, lapor Sinar Harian.

“Saya kata dari segi peribadi saya maafkan dia walaupun dia sumbat saya masuk penjara...dua minggu pertama saya tidur atas simen.

“Tapi soal wang negara, soal hak rakyat tak mungkin saya maafkan, kena ikut proses lah. Kalau terbukti dia bersalah, nasiblah.

“Apa saja yang anda ambil daripada rakyat, anda mesti bertanggungjawab,” katanya dalam dialog bersama anak muda di sebuah hotel, di sini petang tadi.

Menurutnya, beliau memilih untuk memaafkan Najib kerana mahu meneruskan kehidupan dengan baik dan terus maju ke hadapan.

Tambah Anwar, situasi itu hampir sama ketika beliau mengumumkan telah memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga ramai bertanya bagaimana beliau boleh berbuat demikian.

“Mereka tanya bagaimana boleh maafkan senang-senang? Tak senang sebab hatiku sakit, luka tetapi saya fikir pula, takkan ini soal Anwar sahaja.

“Soal rakyat bagaimana, soal negara bagaimana? Mereka tanya lagi bagaimana saya boleh bekerja dengan Tun Dr Mahathir.

“Masa saya gaduh orang nampak tapi masa saya kawan baik dulu, tak nampak pula,” ujarnya.

Bagi Anwar, hubungan baik antara beliau dan Dr Mahathir terjalin selepas mereka putuskan untuk bersatu melawan rasuah dan perompak negara.

No comments

Loading...