Header Ads

Anwar akan jadi TPM dulu sebelum ganti Mahathir


SATU lagi pilihan raya kecil dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat ini, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman akan melangkah ke Parlimen dalam masa terdekat.

Situasi ini lebih menyakinkan apabila Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengesahkan perkara sama, malahan katanya, ada ahli Parlimen PKR bersedia menawarkan kerusi yang disandang mereka kepada Anwar.

Anwar yang sepentas dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap majlis penutup Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 baru-baru ini juga memberikan gambaran sama.

Loading...


Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bersama pembangkang ketika dalam Parlimen seandainya menteri sedia ada melakukan penyelewengan dalam pentadbiran.

De facto leader PKR itu menegaskan, antara sebab menjadi ahli Parlimen sebagai langkah mengelak salah guna kuasa yang boleh menjadi senjata kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.

Malahan beliau sendiri akan bersama pembangkang, tegur kerajaan yang membuat kerosakan, penyelewengan dan kecuaian menteri.

Sekiranya benar sepantas ini Anwar akan kembali ke galanggang politik, adalah mustahil beliau akan menjadi ahli Parlimen biasa, tanpa jawatan.

Setidak-tidaknya Anwar akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri, sementara tempoh peralihan Mahathir sebagai perdana menteri.

Ini kerana Anwar akan memegang jawatan Presiden PKR selepas menang tanpa bertanding jawatan itu yang sebelum ini disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Adalah mustahil seorang presiden parti yang terbesar dengan kemenangan sebanyak 50 kerusi parlimen dalam PRU lalu tidak ada jawatan dalam kerajaan.

PKR adalah faktor utama kemenangan Malaysia Baharu, DAP hanya 42 kerusi, diikuti Besatu (13) dan Amanah (11).

Kembalinya Anwar ke Parlimen dalam era Malaysia Baharu adalah permulaan beliau untuk bersama kerajaan, mungkin era 1998 akan akan kembali.

”Bukan hanya PM (perdana menteri) dua kali, malahan mungkin TPM (timbalan perdana menteri) juga dua kali.

”Ironinya, mungkin gabungan PM dan TPM akan berulang, juga untuk kali ke dua,” kata seorang pemimpin PKR kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mahathir menjadi perdana menteri paling lama di Malaysia selama 22 tahun, iaitu antara 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003, sepanjang tempoh itu, beliau dibantu empat timbalan pada satu satu masa, bermula dengan Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Anwar dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar menjadi timbalan Mahathir untuk tempoh lima tahun, dari 1 Disember 1993 hingga 2 September 1998 sebelum dipecat kerajaan Mahathir ketika itu.

Jelasnya, perjanjian Majlis Presiden Pakatan Harapan tidak menetapkan had Mahathir menjadi perdana menteri, sebaliknya perjanjian itu jelas menyebut Anwar adalah perdana menteri ke lapan.

Namun tidak ditetapkan tempoh masa untuk Mahathir melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri untuk digantikan Anwar dan pernah dicadangkan jawatan itu dipegang hanya selama dua penggal. - Sinar Harian

No comments

Loading...