Header Ads

Amaran PM: Siapa abaikan rakyat akan ditumbang kuasa rakyat


KOTA KINABALU, 17 Sept — Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini berbeza kerana buat pertama kalinya disambut dengan kerajaan Persekutuan yang baharu dipimpin oleh gabungan parti politik berlainan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan Pakatan Harapan telah menggantikan Barisan Nasional (BN), yang sebelum itu dikenali sebagai Perikatan, telah memerintah Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia sejak merdeka lagi, iaitu selama 61 tahun.

Loading...


“Perubahan ini bukan sesuatu yang kecil. Ini kerana sebelum PRU14, penganalisis dan pemerhati politik rata-rata mengatakan adalah sukar [menumbangkan BN] malah ada yang mengatakan mustahil ... “impossible” untuk menjatuhkan kerajaan yang sudah bertapak sejak 61 tahun lalu.

“Alhamdulillah, Pakatan Harapan berjaya [menumbangkan BN] walaupun tidak dijangka. Kejayaan ini adalah kehendak rakyat. Ia adalah sejenis ‘people’s power’ — kuasa rakyat.

“Barang siapa membelakangkan rakyat akan menerima nasib sama [dijatuhkan menerusi kuasa rakyat]. Justeru, Pakatan Harapan dan Parti Warisan Sabah harus memahami hakikat ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini malam tadi.

Dr Mahathir berkata perubahan itu telah membawa kepada penggunaan slogan “Malaysia Baharu” secara meluas dan secara langsung, dengan harapan rakyat dan pemerintah, menolak cara kerajaan terdahulu yang mengamalkan pemerintahan kleptokrasi, menolak demokrasi dan tidak berpandu kepada undang-undang.

“Antara perkara pokok yang kita mahu ubah bersama-sama adalah budaya rasuah yang begitu menular dalam kalangan pemimpin-pemimpin Umno dan BN dan jentera kerajaan di bawah mereka.

“Kepercayaan bahawa ‘cash is king’ atau duit adalah raja jelas tidak benar. Tolak sahajalah slogan ini dan kembali kepada ‘bersih, cekap dan amanah’,” katanya. — Bernama

No comments

Loading...