Header Ads

'Abu Hassan sempat sambut cicit sulung 31 Ogos lalu'


Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Dr Abu Hassan Omar yang meninggal dunia semalam sempat meraikan kelahiran cicit sulungnya pada 31 Ogos lalu.

Menurut anak bongsunya Datin Hasnorhana, Allahyarham cukup gembira dengan kehadiran cicit lelakinya itu, ditambah lagi kelahirannya adalah pada hari kebangsaan.

"Alhamdulillah, Allahyarham sempat melihat cicit pertamanya yang dilahirkan pada Hari Merdeka iaitu kira-kira seminggu sebelum pemergiannya," kata Hasnorhana, 41 ketika ditemui pemberita selepas jenazah Allahyarham disembahyangkan di Majid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Loading...


Antara yang hadir ialah isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abu Hassan, 77 meninggal dunia kira-kira pukul 8.05 malam tadi di sebuah hospital swasta di Shah Alam akibat serangan jantung.

Selain cicit, Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Wan Nor Daud, empat anak dan 15 cucu.

Mengulas mengenai keadaan kesihatan ayahnya sebelum meninggal dunia, Hasnorhana yang tinggal berhampiran kediaman Allahyarham di Kota Kemuning berkata, arwah mengadu sakit belakang malam tadi sebelum dikejarkan ke hospital.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham, Mohamad Najib Saad, 41, berkata Abu Hassan begitu rapat dengan keluarganya.

Menurutnya Allahyarham pernah menerajui empat kementerian penting dengan yang terakhir menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Selangor ke-12 dari 1997 hingga 2000.

"Allahyarham mula menjadi menteri kabinet sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad pertama kali menjadi perdana menteri pada 1981," katanya,

Katanya lagi, jawatan terakhir yang disandang Abu Hassan sebelum bersara sepenuhnya ialah sebagai Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Selangor.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 Shah Alam, selepas solat zuhur hari ini.

-Bernama

No comments

Loading...