Header Ads

Warga Bangladesh dihukum penjara satu bulan, denda RM17,500


Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 48 tahun dijatuhi hukuman penjara selama satu bulan dan denda sebanyak RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhamad Imran mengaku salah atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 4 Ogos lalu.


Loading...

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi rasuah wang tunai sebanyak RM3,500 kepada Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Mohd. Tarmizi Jusoh @ Tajudin di Pasar Mini GNR di alamat C-G-10-CS, Jalan Pancaindera, College Height Garden Resort, Mantin pada pukul 4 petang, lapor Kosmo Online.

Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang keatas premis perniagaan milik isterinya iaitu warga tempatan, Rogayah Abdullah kerana tidak mempunyai lesen menjual barangan berkawal berjadual yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 (Akta Kawalan Bekalan 1961).

Menurut sumber SPRM, barang kawalan yang dijual dipremis itu tanpa lesen seperti minyak masak, tepung dan tong gas.

Warga Bangladesh itu dituduh di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Muhamad Imran yang tidak diwakili peguam membayar denda sebanyak RM17,500 itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Khairi Abdul Karim dan Timbalan Pendakwa Raya, Nurdiyanah Mohd. Nawawi.

No comments

Loading...