Header Ads

Usah sibuk nak jual Equanimity, bayar hutang 1MDB dulu


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengetahui pembelian kapal persiaran mewah, The Equanimity menggunakan wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika pentadbirannya sebelum ini.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu juga menyatakan beliau tidak tahu siapa pemilik sebenar kapal mewah berkenaan.

Loading...

“Kita tak tahu (The Equanimity beli guna duit 1MDB), perkara itu masih disiasat. Tapi apa yang penting ialah penyelesaian hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Corp (IPIC) Abu Dhabi, jumlah hutang itu besar.

“Kita kena cari siapa sebenarnya pemilik kapal The Equanimity tersebut,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ketika ditanya berhubung cadangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk menjual kapal persiaran mewah berkenaan dengan harga terbaik, Najib menyifatkan itu adalah tindakan populis.

Najib juga mendesak kerajaan PH untuk fokus kepada penyelesaian hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Corp (IPIC) Emiriah Arab Bersatu (UAE) berbanding  mencari pembida tertinggi yang akan membeli kapal The Equanimity tersebut.

“Kerajaan patut fikirkan jalan untuk selesaikan hutang 1MDB dengan IPIC, jumlah itu besar. Berbanding sibuk cari pembida tertinggi untuk beli kapal mewah berkenaan.

“Nilai aset (The Equanimity) kian menyusut, tak ramai orang di dunia ini mampu beli kapal mewah dengan harga yang tinggi. Apa yang penting bayar hutang 1MDB kepada IPIC,” gesa Najib.

Semalam, Guan Eng berpendapat jalan terbaik mengembalikan semula wang 1MDB ialah dengan menjual kapal persiaran mewah, The Equanimity pada harga terbaik.

Menurutnya, aset bernilai RM1 bilion mesti dijual supaya rakyat mendapat manfaatnya.

Dalam perkembangan sama, bekas Presiden Umno itu memaklumkan beliau tidak tahu mengenai kedatangan The Equanimity di Pelabuhan Klang hari ini, hanya mengetahuinya melalui media.

“Saya tak tahu, kapal itu dibawa ke sini, saya tak pernah naik pun. Cuma tahu apabila terbaca laporan daripada media.

“Sebabnya kita tak minat nak tahu mengenai kapal itu, apa yang lebih penting ialah penyelesaian hutang kepada IPIC,” kata Najib.


Tengah hari tadi, kapal mewah,  dikatakan milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low itu berlabuh di Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

Difahamkan, kapal tersebut berlepas dari perairan Batam, Indonesia pada jam 4.45 petang semalam dan tiba di sini kira-kira jam 12.30 tengahari tadi.

Kapal itu selesai berlabuh kira-kira jam 1.00 tengahari sebelum pasukan khas dari Jabatan Peguam Negara melakukan pemeriksaan terhadap kapal mewah itu.

No comments

Loading...