Header Ads

Umno perlukan ramai watak seperti Khairy


SHAH ALAM - Umno memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang dilihat rasional dalam membahaskan hujah.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, ini kerana terdapat segelintir pemimpin Umno yang lantang berhujah tetapi beremosi seperti Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, lapor Sinar Harian.

Loading...

Selain itu, katanya, ada juga pemimpin Umno yang mengkritik pembangkang secara semberono serta membangkitkan isu bersifat perkauman dan hanya mementingkan Melayu.

“Sebagai contoh, ada pemimpin Umno menyifatkan kematian Adun Balakong, Eddie Ng sebagai satu lagi kehilangan pemimpin kontroversi.

"Tindakan pemimpin itu dilihat kurang wajar dan Khairy dengan beraninya menegur bahawa kenyataan itu tidak sepatutnya diutarakan oleh pemimpin Umno," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Umno dilihat terlampau bersifat feudal iaitu terlalu menjaga ketua seolah-olah apa yang ketua buat semua betul.

“Kenapa tidak ada pemimpin yang berani mengkritik tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait dengan 1MDB seperti mana yang dilakukan Khairy," katanya.


Mengulas lanjut, beliau yang juga pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, untuk Umno kekal relevan, kelantangan bukan syarat utama dan penting.

"Kelantangan itu biarlah satu konsisten kalau mereka boleh menjadi berhujah secara rasional," katanya.

Katanya lagi, Umno juga memerlukan tokoh-tokoh yang boleh diterima oleh semua kaum.
"Kenapa Umno dilihat begitu asing dan jauh daripada masyarakat ialah kerana arus perjuangan mereka dilihat tersasar daripada kehendak dan kemahuan masyarakat pada hari ini.

"Perjuangan Umno dilihat lebih tertumpu kepada isu-isu sempit seperti isu Melayu, isu bahasa, isu liberalisme. Ini semua memang isu penting tetapi kita perlu melihat dalam satu kerangka pemikiran yang lebih luas yang mana masyarakat boleh menerima apa juga hujahan yang dibuat,” katanya.

No comments

Loading...