Header Ads

Umno, Pas uji kerjasama


SHAH ALAM - Umno dan Pas dilihat masih menguji kerjasama antara kedua-dua parti itu apabila sekali lagi berkolaborasi menerusi PRK di Dun Seri Setia, selepas PRK Dun Sungai Kandis 4 Ogos lalu.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, bagaimanapun kedua-dua parti itu berdepan cabaran dari segi kesediaan ahli-ahli Umno dan Pas untuk menerima kemungkinan kerjasama antara satu sama lain pada masa akan datang.

Loading...

Katanya, di peringkat atasan, barangkali pemimpin boleh menzahirkan kerjasama yang mahu dilihat.

"Namun adakah di tahap ahli parti masing-masing, adakah mereka bersedia ke arah tersebut? Ini kerana, pada PRK di Dun Sungai Kandis lalu, kita melihat penyokong Pas tidak keluar untuk menyokong calon BN.

"Jadi dalam PRK di Dun Seri Setia, adakah trend yang sama boleh berulang atau kita akan lihat ada perubahan dari segi itu. Walau dalam keadaan sekalipun, mungkin kerjasama-kerjasama ini merupakan kerjasama di peringkat awal, apatah lagi kedua-duanya kini bergelar pembangkang," katanya kepada Sinar Harian ketika diminta mengulas kerjasama antara Umno dan Pas di PRK Dun Seri Setia.

Semalam, dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Umno terus meningkatkan kerjasama dengan Pas dalam PRK di Dun Seri Setia dan pemimpin kanan parti itu dibenarkan mengiringi calon Pas, Dr Halimah Ali ketika penamaan calon.

Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, ia menjadi kali pertama kerjasama dalam pilihan raya dilihat berlaku antara Umno dan Pas.

"Tetapi kerjasama-kerjasama ini bukanlah baharu dalam kerjasama politik di Malaysia dalam kalangan parti pembangkang. Parti-parti pembangkang ini pernah bekerjasama apabila Pas bersama Pakatan Rakyat dulu dan ketika dengan Barisan Alternatif pada 1999 di mana trendnya dilihat sama," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Umno dan Pas akan membentuk gabungan parti suatu hari nanti, tetapi bukan untuk dalam tempoh masa sekarang.

"Buat masa ini agak sukar sebab saya rasa tahap penerimaan ahli berbeza. Mereka belum sampai ke tahap tersebut (kerjasama bergabung parti). Kalau sudah sampai (penerimaan ahli), tidak mungkin penyokong Pas di Sungai Kandis tidak keluar.


"Mungkin yang perlu dilakukan di samping kerjasama seperti ini adalah dengan meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli-ahli Umno dan Pas. Saya lihat setakat ini tiada lagi pendekatan ini diambil. Mungkin boleh dilakukan kerjasama di peringkat cawangan dan bahagian dari segi (aktiviti) usrah bersama," katanya.

PRK di Dun Seri Setia menyaksikan perrtembungan dua penjuru antara Halimah dengan calon PH, Halimey Abu Bakar.

No comments

Loading...