Header Ads

Tunggu penjelasan saya


BUKIT GANTANG - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal memberi jaminan akan memberi penjelasan lanjut berhubung laporan terdapat wakil rakyat bebas dari Perak menawarkan kerusi Parlimennya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekembali dari Makkah.

Wakil rakyat Bebas itu berkata, pada ketika ini, pihaknya sudah berada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beliau ingin menumpukan fokus mengerjakan ibadah haji susulan akan berangkat ke tanah suci pada keesokkan hari sehingga 8 September depan.

Loading...

Menurutnya, satu program khas akan diadakan di sini sebaik beliau pulang dari Mekah dan pihaknya juga akan membuat satu pengumuman khas dalam program itu.

"Tunggulah saya pulang dari tanah suci, saya akan beri penjelasan lanjut mengenainya( isu serah kerusi Parlimen kepada Anwar).

"Saya akan buat satu program, saya juga akan buat satu pengumuman khas kepada media yang hadir nanti," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian di sini.

Ditanya sama ada pengumuman penting itu melibatkan kemungkinan keputusan beliau untuk mengosongkan kerusi Parlimen Bukit Gantang bagi memberi laluan kepada Anwar, Syed Abu Hussin hanya  sekadar menjawab ringkas 'tidak, tidak'.

"Tunggulah keputusan penting dibuat nanti," ujarnya.

Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan melaporkan seorang wakil rakyat bebas di Perak yang pernah bersama BN, membuat tawaran mengosongkan kerusi Parlimennya bagi memberi laluan kepada Anwar semasa pertemuan mereka baru-baru ini.

Susulan itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga seorang lagi wakil rakyat bebas di Perak mengeluarkan kenyataan menafikan dirinya adalah individu bekas wakil rakyat BN sebagaimana dilaporkan media.

Noor Azmi dan Syed Abu Hussin bertanding di bawah tiket BN pada PRU14 lalu, namun mereka meninggalkan Umno selepas itu.


Semasa mengumumkan keputusannya, Noor Azmi secara terbuka mengisytiharkan sokongannya kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan merancang menyertai Bersatu.

Tiga hari selepas itu, Syed Abu Hussin pula mengumumkan keputusannya untuk menjadi ahli parlimen bebas kerana kecewa dengan keputusan pilihan raya Umno baru-baru ini.

No comments

Loading...