Header Ads

Tiada Kabinet bayangan pembangkang


KUALA LUMPUR - Blok pembangkang tidak mempunyai Kabinet bayangan sebaliknya, terdapat senarai susunan portfolio yang dibahagikan antara Umno dan Pas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,agihan portfolio antara Umno dan Pas dapat dilihat menerusi perbahasan-perbahasan menjurus kepada bidang masing-masing.

Loading...

"Kita tidak mempunyai barisan Kabinet bayangan tapi kita telah susun senarai ahli Parlimen daripada blok pembangkang yang mewakili Umno dan Pas terutamanya untuk diberikan tanggungjawab memfokuskan portfolio tertentu.

"Agihan portfolio ini telah kami berikan kepada semua ahli Parlimen dan tentunya sebagaimana kita lihat perbahasan-perbahasan menjurus kepada bidang masing-masing," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyatakan blok pembangkang tidak memerlukan Kabinet angan-angan yang menamakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri seperti yang dipraktiskan PH ketika mereka menjadi pembangkang dulu.

"Tidak perlu tentukan siapa ketua, kita mempunyai cara berbeza, tak perlu ada Kabinet bayangan seperti mana yang dibuat oleh mereka (PH).

"Itu namanya Kabinet angan-angan. Kita tidak ada jawatankuasa tapi ada portfolio yang membolehkan ahli Parlimen fokus untuk bahas dan bangkitkan perkara-perkara tertentu," ujarnya.

Menurut Zahid, namun mereka juga diberikan kebebasan berdasarkan latar belakang untuk menyentuh lain-lain perkara kerana kita berjanji untuk menjadi pembangkang yang konstruktif  dan mempunyai  kewibawaan dari  segi maklumat, latar belakang dan juga fakta-fakta yang diperolehi.


Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata pembangkang sudah mempunyai kabinet bayangan.

Menurutnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu mengumumkannya sekali gus menuntut pengiktirafan rasmi kerajaan.

No comments

Loading...