Header Ads

Syed Saddiq: Rombak persatuan belia elak campur tangan politik


KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Cadangan rombakan persatuan belia secara menyeluruh bertujuan memastikan persatuan belia tidak lagi diterajui individu daripada mana-mana parti politik, sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

Syed Saddiq dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kementerian itu akan mengeluarkan pelan lengkap bagi merombak semula persatuan belia.

“Antara aspek yang akan ditekankan dalam pelan itu ialah belia bebas bersuara dan mengkritik mana-mana pihak dan tidak mempunyai ahli jawatankuasa tertinggi yang memegang jawatan dalam parti politik.

Loading...


Persatuan juga perlu diterajui belia seperti mana yang digariskan dalam Dasar Belia Malaysia. Langkah-langkah penggubalan undang-undang sedang dilakukan agar pendefinisian semula had umur belia daripada 40 tahun ke 30 tahun dapat dikuatkuasakan,” katanya.

Syed Saddiq berkata cadangan beliau untuk proses neutralisasi persatuan belia sebelum ini turut dipertikaikan pelbagai pihak.

Beliau mendakwa pertikaian ini wujud kerana masih terdapat banyak persatuan belia utama yang diterajui oleh kepimpinan muda Umno, yang bukan sahaja menggunakan platform persatuan untuk mempromosikan parti tetapi menggunakan persatuan sebagai jentera dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Tindakan tidak beretika ini adalah bertentangan dengan matlamat asal kewujudan persatuan belia. Malah, persatuan-persatuan belia ini bersifat berat sebelah apabila hanya bertindak menyokong parti-parti politik tertentu sahaja,” dakwanya.

Syed Saddiq berkata adalah menjadi matlamat beliau untuk mengembalikan kuasa kebebasan bersuara kepada persatuan belia agar mereka berani untuk menegakkan kebenaran dan tidak menjadi boneka mana-mana parti politik termasuk parti komponen Pakatan Harapan.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa apabila saya menyebut persatuan belia tidak patut menjadi macai politik di Parlimen semalam, ia bukanlah ditujukan kepada semua persatuan belia ataupun semua pihak dalam persatuan tersebut, tetapi hanya segelintir sahaja, khususnya pimpinannya.

Saya akui akan peranan besar yang dilaksanakan oleh pertubuhan belia. Saya juga yakin, masih banyak pertubuhan dan ahli akar umbi yang mendukung agenda perjuangan belia yang luhur dan sejati,” katanya. — Bernama

No comments


Loading...