Header Ads

Sumbangan RM10 juta bertepatan dengan pengorbanan Kedah - MB


Kedah menghargai keputusan kerajaan persekutuan yang meluluskan pampasan sebanyak RM10 juta setahun seperti yang diberitahu Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata sumbangan itu bertepatan dengan pengorbanan yang diberikan Kedah terutama dalam memastikan bekalan makanan negara terjamin.

Loading...


“Kerajaan negeri Kedah berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana meluluskan pampasan sebanyak RM10 juta setahun bagi pajakan Pulau Pinang dan Seberang Perai.

"Pada masa sama, kerajaan negeri juga berharap Putrajaya akan menimbang menambah sokongan kewangan kepada negeri Kedah memandangkan negeri ini telah ‘berkorban’ dengan terus kekal sebagai Jelapang Padi negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mukhriz berkata Kedah juga mempunyai potensi pendapatan daripada aktiviti pembalakan, namun terpaksa 'berkorban' demi mengekalkan kawasan terbabit sebagai kawasan tadahan air.

Ini kerana katanya sumber air dari kawasan tadahan di Kedah bukan sahaja untuk kegunaan rakyat negeri itu tetapi turut dibekalkan ke negeri-negeri berhampiran.



"Kita juga mempunyai tanah seluas 270,000 ekar untuk dikekalkan sebagai kawasan penanaman padi, hutan tadahan air, sungai, tasik dan empangan bagi menjamin bekalan makanan negara," katanya.

Terdahulu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Lim berkata kerajaan persekutuan bersetuju memperuntukkan bayaran sumbangan khas kepada Kedah sebanyak RM10 juta.

Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan hasrat supaya kerajaan mengkaji semula pemberian khas Kedah yang berjumlah RM10,000 setiap tahun.

- Bernama

No comments

Loading...