Header Ads

Suami kuat cemburu dan dendam, tetak putus tangan isteri


GEORGE TOWN, 12 Ogos — Seorang isteri putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak suaminya yang cemburu dengan wanita itu dalam kejadian di kawasan parkir tingkat tiga flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas dekat sini tengah malam tadi.

Ketua polis daerah Barat Daya Supt AA Anbalagan berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.55 tengah malam tadi dan bergegas ke tempat insiden sebelum mendapati wanita berusia 24 tahun berkenaan telah putus pergelangan tangan kirinya.


Loading...

“Pada mulanya polis menerima maklumat berlaku kejadian ragut sehingga menyebabkan mangsa cedera kerana ditetak suspek namun sebaik kami sampai di lokasi insiden, wanita itu didapati telah putus pergelangan tangan kirinya.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa telah ditetak oleh suaminya dengan sebilah pisau sebelum suspek melarikan diri dan tiada barang berharga yang hilang daripada wanita itu,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Anbalagan berkata pasangan itu dalam proses bercerai dan siasatan mendapati suami wanita berkenaan bertindak sedemikian kerana dendam dan cemburu dengan mangsa serta mendakwa isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain sejak dua tahun lepas.

Katanya, susulan kejadian itu, sepasukan polis dari bahagian siasatan jenayah dan pasukan petugas ibu pejabat polis Barat Daya telah melancarkan operasi mengesan suspek sebelum berjaya menahan lelaki berusia 39 tahun berkenaan di hadapan sebuah surau di Lebuh Maccalum, di sini pukul 3 pagi.

“Suspek mengaku menetak isterinya kerana cemburu dan dendam, dia turut mengalami kecederaan ketika bergelut dengan mangsa.

“Lelaki itu yang mengalami cedera luka di tangan telah  menerima rawatan di Hospital Balik Pulau,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut 326 Kanun Keseksaan. — Bernama

No comments

Loading...