Header Ads

SST tetap laksana 1 Sept, tiada kelewatan - Guan Eng


Kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September bagi mengelak akaun semasa negara mengalami defisit, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, negara akan mengalami kekurangan hasil sebanyak RM4 bilion jika SST tidak dilaksana dan ini akan memberi kesan yang besar kepada prestasi ekonomi kerajaan.

"Sekiranya kita tidak melakukannya, tidak ada pendapatan untuk membiayai perbelanjaan operasi seperti membayar gaji kakitangan kerajaan atau penyelenggaraan bangunan," katanya semasa taklimat mengenai SST untuk media di Putrajaya, hari ini.

Loading...


Walaupun kerajaan menghadapi beberapa masalah dalam melaksanakan rejim cukai baharu itu, Lim memberi jaminan bahawa isu terbabit akan dapat diselesaikan.

Lim berkata, kerajaan berharap inflasi tidak akan melebihi dua peratus berikutan pelaksanaan rejim cukai tersebut.

"Tahun lalu, kadar inflasi kita berada pada 3.7 peratus, Tahun ini, kita gembira dengan dua peratus," katanya.

Bank Negara Malaysia sebelum ini mengunjurkan tahap inflasi akan memurata antara dua dan tiga peratus.

Memandangkan jangkaan kutipan daripada SST dianggarkan RM21 bilion untuk setahun penuh, manakala hasil daripada GST dijangka menjana RM42 bilion, Lim berkata, kekurangan itu akan ditampung oleh pendapatan lebih tinggi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Khazanah Nasional Bhd, di samping mengkaji semula beberapa projek mega.

"Harga minyak telah melonjak kepada sekitar US$77 setong. Ini akan memberi kita lebih banyak pendapatan buat masa ini," katanya.

Minyak mentah Brent hari ini berada pada US$77.73 setong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam berkata, barangan yang dibeli semasa tempoh bebas cukai akan tetap dikenakan cukai jika ia diserahkan selepas pelaksanaan semula SST.

Ia selaras dengan undang-undang, apabila sesuatu perkhidmatan diberi selepas tarikh pelaksanaan (1 September) akan tertakluk kepada cukai, katanya, sambil menambah, "Ia tidak percuma kerana ia telah dinyatakan dalam undang-undang tersebut."

Subromaniam mengulas mengenai rebat tunai dan diskaun yang ditawarkan pelbagai syarikat semasa tempoh bebas cukai, menarik pengguna untuk mengambil kesempatan untuk membeli barangan mahal seperti kereta.

Menegaskan bahawa cukai hanyalah satu daripada komponen yang mempengaruhi harga, beliau berkata, terdapat banyak faktor penentu yang lain.

"Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi memantau harga selepas pelaksanaan SST Sabtu ini," katanya.

Hanya 38 peratus barangan indeks harga pengguna akan dikenakan cukai di bawah SST berbanding 60 peratus di bawah GST.

Di bawah SST, 85 peratus perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana, akan terkeluar daripada jaringan cukai, manakala ambang jualan tahunan untuk kelayakan mendaftar bagi cukai jualan akan dinaikkan kepada RM500,000.

Setakat ini 79,996 perniagaan telah berdaftar dengan Jabatan Kastam melalui Sistem Pemindahan Auto daripada MyGST kepada MySST.

- Bernama

No comments

Loading...