Header Ads

SPRM tahan pegawai kanan polis terima suapan RM15,000


Seorang pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kerana disyaki menerima suapan bernilai RM15,000 di Bandar Perda, Bukit Mertajam dekat sini semalam.

Pegawai penguat kuasa SPRM Kedah menahan pegawai kanan polis berusia 39 tahun itu selepas menerima laporan lelaki berkenaan meminta rasuah tersebut bagi menyelesaikan kes disiasatnya berkaitan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurut sumber SPRM, suspek adalah pegawai penyiasat berpangkat Asisten Superintendan  yang membuat penahanan empat individu disyaki terbabit kes ATIPSOM di sini pada 31 Julai lalu.

Loading...


"Individu terbabit kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Ogos lalu sebelum pegawai kanan polis itu meminta suapan wang dipercayai bagi menyelesaikan kes terbabit.

"Pengadu membuat  laporan tersebut di pejabat SPRM Alor Setar sebelum bertindak menahan suspek dan merampas wang suapan itu," katanya di sini hari ini, lapor Kosmo Online.

Sumber SPRM itu berkata, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke pejabat SPRM Alor Setar untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan penahanan pegawai kanan polis terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Alor Setar di sini hari ini sebelum mendapat perintah tahanan reman selama empat hari.

"Kes disiasat  mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima suapan yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan," katanya.

No comments

Loading...