Header Ads

SPRM sita RM1j, 16 kenderaan lepas tahan pengawal JPM


KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita beberapa lagi aset berharga disyaki hasil penyalahgunaan wang peruntukan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas berikutan penahanan 17 pegawai serta pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri semalam.

Menurut sumber SPRM, sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM adalah wang tunai berjumlah RM978,800, lima kereta, 11 motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 telefon bimbit serta perkakas elektrik.

Loading...


“Lima buah kenderaan berkenaan ialah sebuah Volkswagen Golf GTI, tiga buah Honda dan sebuah Perodua Alza manakala 11 motosikal terdiri daripada lima buah berjenama Yamaha dan selebihnya berjenama Honda.
Kesemua kenderaan dan barangan yang disita tersebut kini masih dalam proses penilaian harga,” kata sumber itu kepada Bernama.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kesemua penyitaan itu.
Beliau berkata pasukan penyiasat SPRM masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Semalam, kesemua suspek ditahan semasa hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, antara 2.45 hingga 3.15 petang serta disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Mereka direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana PRU14 berjumlah RM3.5 juta. — Bernama

No comments

Loading...