Header Ads

SPRM mahu jumpa Najib mengenai dana PRU-14 bernilai RM3.5 juta yang diambil 17 jaga JPM


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan dana RM3.5 juta yang diambil oleh 17 pengawal keselamatan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu dimiliki oleh UMNO.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya akan berbuat demikian dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung perkara berkenaan.

“SPRM ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada Najib berkaitan hal ini,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Loading...


Bagaimanapun, Azam menambah, sehingga kini masih belum terdapat mana-mana pihak yang menghubungi pihaknya bagi membuat sebarang tuntutan berhubung sebahagian daripada wang yang telah ditemui itu.

Semalam, Najib mengaku dana yang dicuri itu adalah milik UMNO yang digunakan untuk pilihan raya.

Beliau meminta supaya SPRM memulangkan semula wang itu kerana masih ada bil yang perlu dibayar oleh parti tersebut.

Jelas Najib, wang itu sebenarnya dalam proses pemindahan ke sebuah apartmen sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO yang baharu.

Selasa lalu, SPRM berjaya menahan 17 pengawal keselamatan JPM termasuk seorang pegawai mereka kerana disyaki menyeleweng dana PRU-14 sebanyak RM3.5 juta pada Mei lalu.

Wang tersebut dicuri kumpulan pengawal ke­selamatan yang diketuai oleh pegawai Keselamatan Gred 52  dan 16 orang lagi pengawal keselamatan Gred 11 sehingga Gred 38 dalam kejadian pada pukul 3 pagi, 10 Mei iaitu selepas Barisan Nasional diumumkan kalah pada PRU-14.

Wang yang dikebas kumpulan jaga berusia 31 hingga 51 tahun itu telah digunakan oleh mereka untuk membeli motosikal, perabot rumah dan disimpan dalam akaun bank peribadi masing-masing.

Sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM ialah wang tunai berjumlah RM978,800, lima buah kereta, 11 buah motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.

Lima buah kereta terbabit ialah sebuah Volkswagen Golf GTI , tiga buah Honda dan sebuah Perodua Alza manakala 11 motosikal  pula terdiri daripada lima buah berjenama Yamaha dan selebihnya berjenama Honda.

Kesemua kenderaan dan barangan yang disita tersebut kini masih dalam proses penilaian harga. - Kosmo Online

No comments

Loading...