Header Ads

SPRM akan pamer hampir RM50j rampasan dari ejen perisik MEIO


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai bernilai berjuta-juta dolar AS hasil tangkapan beberapa pegawai risikan kerajaan, termasuk bekas ketua mereka Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Sumber memberitahu Malaysiakini, penyiasat SPRM memperoleh maklumat mengenai wang tersebut serta lokasi ia disembunyikan selepas menyoal siasat sejumlah individu yang ditahan.

Loading...


Difahamkan SPRM akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai wang tersebut melalui sidang media di ibu pejabat agensi antirasuah itu di Putrajaya hari ini.

Semalam, Hasanah - yang diketepikan daripada jawatannya selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan - direman lima hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dana tersebut.

Dia - bersama pegawai lain yang masih berkhidmat dengan agensi perisikan di bawah Jabatan Perdana Menteri itu - disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 atas tuduhan menyalahgunakan kuasa atau kedudukan.

Menurut laporan berita, SPRM sedang meneliti kemungkinan wujud kaitan antara dana berjumlah AS$12 juta itu dengan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Dana AS$12 juta (RM49.5 juta pada kadar semasa) asalnya didakwa dikhaskan untuk perbelanjaan pilihan raya umum (PRU).

New Straits Times melaporkan dana itu dibawa masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pertengahan April lalu sebagai peruntukan bagi kerajaan BN ketika itu menghadapi PRU ke-14.

Nama Hasanah menjadi perhatian pada Julai lalu selepas sepucuk surat yang ditulisnya kepada pegawai kanan Agensi Perisikan Pusat (CIA) dibocorkan.

Surat itu dihantar Hasanah - ketika itu menjadi pengarah Pertubuhan Perisikan Luaran Malaysia Malaysian (MEIO) - bagi mendapatkan sokongan AS jika BN menang tipis PRU berkenaan.

- Malaysiakini

No comments

Loading...