Header Ads

Shahrir mohon batal saman RM100 juta, isu tanah Felda

Tan Sri Shahrir Abdul Samad - Foto: The Sun Daily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Bekas pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah berjumlah RM100 juta yang difailkan sebuah syarikat pemaju hartanah, Synergy Promenade Sdn Bhd berhubung isu tanah Felda.

Perkara itu dimaklumkan peguam Farah Shuhadah Razali, mewakili Shahrir kepada pemberita selepas pengurusan kes saman di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini, yang turut dihadiri peguam Priscilla Tan bertindak bagi pihak Synergy.


Loading...

Farah berkata permohonan untuk membatalkan saman itu difailkan minggu lepas, atas alasan tuntutan saman difailkan plaintif (Synergy) tidak mengikut peraturan dan syarikat berkenaan tidak mempunyai asas untuk menuntut ganti rugi RM100 juta daripada defendan (Shahrir).

“Plaintif juga memohon untuk membatalkan pembelaan difailkan defendan (Shahrir) dan pada masa sama, anak guam saya memohon untuk meminda pembelaannya,” kata peguam itu yang turut memaklumkan 1 Oktober ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya.

Pada 4 Jun lepas, Synergy menyaman Shahrir, yang ketika itu pengerusi Felda, atas dakwaan telah mengeluarkan beberapa kenyataan fitnah antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan dalam beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan reputasi mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek-projek yang sedang diusahakan.

Syarikat itu menuntut satu perintah injuksi bagi menghalang defendan menerbitkan semula kenyataan tersebut serta ganti rugi RM100 juta, faedah, kos dan relief lain yang sesuai. — Bernama

No comments


Loading...