Header Ads

Shahril dilantik pengarah urusan baharu Khazanah


KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad melantik Datuk Shahril Ridza Ridzuan sebagai pengarah urusan syarikat itu, menggantikan Tan Sri Azman Mokhtar.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Khazanah berkata Shahril akan memulakan tugasnya pada 20 Ogos ini.

Loading...

Shahril, 48, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang memegang jawatan itu sejak 16 April 2013.

Beliau merupakan timbalan ketua pegawai eksekutif (pelaburan) sebelum ini.

Sebelum menyertai KWSP, beliau merupakan Pengarah Urusan Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) yang bertanggungjawab membangunkan KL Sentral menjadi salah sebuah pusat komersial utama di Malaysia.

Beliau juga pernah berkhidmat di Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan terlibat dalam pemulihan korporat dan penstrukturan semula kredit berikutan Krisis Kewangan Asia 1997.

Selain itu, Shahril juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Media Prima Bhd, Malaysian Building Society Berhad, Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, MRCB dan IJN Holdings Sdn Bhd.

Shahril Ridza memiliki Ijazah Sarjana Seni dari Universiti Cambridge dan Ijazah Sarjana Undang-Undang Sivil dari Universiti Oxford.


Pada Isnin, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan beberapa individu sebagai lembaga pengarah Khazanah.

1. Tun Dr Mahathir Mohamad - Pengerusi

2. Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Pengarah

3. Tan Sri Mohd Hassan Marican - Pengarah

4. Dr Sukhdave Singh - Pengarah

5. Goh Ching Yin - Pengarah

No comments