Header Ads

Sesi berpantun ceriakan Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini agak menarik apabila ramai wakil rakyat dan menteri yang berpantun ketika mengemukan soalan mahupun menjawab soalan.

Ia dimulakan dengan Ahmad Marzuk Shaary (Pas-Pengkalan Chepa) yang mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Loading...

“Terima kasih Timbalan Yang Dipertua, saya mulakan dengan satu pantun nasihat untuk kerajaan.

“Genap tempoh 100 hari, wajib tunai manifesto rakyat, mohon menteri bijak bestari, jawab soalan nombor empat,” katanya.

Sebelum memulakan jawapannya, Muhammad Bakhtiar sempat menjawab pantun Ahmad Marzuk dengan pantun dua kerat.

“Buah rambutan buah kelapa,

Ini jawapan untuk Pengkalan Chepa,” katanya.

Wakil rakyat yang dilabel ‘nakal’ di Dewan Rakyat, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut berpantun.

“Saya pun ingin memulakan soalan saya dengan pantun memandangkan ini ialah 100 hari PH memerintah di Putrajaya.

“PH harapan rakyat, BN temberang belaka,

Jelutong bertanya dengan harapan,

Soalan Jelutong soalan kelima,” katanya yang mengundang suara bantahan wakil rakyat BN.

Namun wakil rakyat BN, Tan Sri Annuar Musa tidak ketinggalan membalas Rayer ketika mengemukakan soalan tambahan.

“Oleh kerana Jelutong bagi pantun, saya nak bagi soalan tambahan pun dengan pantun.

“Peruntukan RM2 bilion semasa Barisan, Jelutong bertuah dapat nikmat, tuduhan temberang menteri dah nafikan, setujukah saya kata Jelutong memang berniat jahat?,” katanya.

Dalam pada itu, Jonathan Yasin (PH-Ranau) juga tidak mahu ketinggalan memberikan pantun.

“Saya lihat rakan-rakan dalam dewan ini sudah beri pantun, Ranau juga nak beri pantun pagi ini.

“Angin Kinabalu sampai ke Parlimen, membawa impian dan juga harapan, soalan yang diutarakan bukan mainan, tapi impian Sabah yang penuh harapan,” katanya.


Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin kemudian bangkit dan menjawab pantun tersebut.

“Pagi ini semua orang nak berpantun. Saya tak ada sediakan pantun.

“Nak ‘order’ bihun ter ‘order’ mi, ini jawapan dari menteri ekonomi,” katanya.

No comments

Loading...