Header Ads

Serah petisyen sokong PTMP

Mohd Nasarudin menyerahkan petisyen.

GEORGETOWN - Sekumpulan wakil pekerja dari kawasan perindustrian Bayan Lepas dan Batu Maung menyerahkan petisyen kepada kerajaan negeri berhubung Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Wakilnya, Mohd Nasarudin Sultan berkata, petisyen yang mengandungi lebih 1,011 tandatangan dari pekerja industri di dua kawasan itu dibuat bagi menyatakan sokongan mereka terhadap pembinaan projek mega itu khususnya Pan Island Link 1 (PIL 1) dan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas.

Loading...

Menurutnya, kebanyakan pekerja di kawasan tersebut terpaksa menempuh kesesakan jalanraya sehingga dua jam setiap hari untuk ke tempat kerja.

"Saya mewakili semua lapisan pekerja termasuk pengurus kilang, jurutera dan pekerja kilang menghantar petisyen ini kerana ingin menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri dalam usahanya membina jalan dalam projek PTMP yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan jalanraya.

"Ini kerana, kami yang bekerja di kawasan perindustrian terpaksa menempuh kesesakan yang teruk sejak berpuluh tahun lalu. Bayangkan kami terpaksa keluar rumah dua jam lebih awal kerana bimbang lewat sampai ke tempat kerja. Oleh itu, kami berharap agar projek PTMP ini dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Mohd Nasarudin bersama beberapa rakannya hadir di hadapan bangunan Dun Pulau Pinang untuk menyerahkan petisyen tersebut kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, tadi.

Mohd Nasarudin berkata, dia berusaha mendapatkan tandatangan pekerja industri sejak 7 Julai lalu itu kerana bimbang projek mega tersebut dibatalkan susulan banyak bantahan telah dibuat.

Tambahnya, beliau berharap agar 1.4 juta rakyat Pulau Pinang berfikir secara terbuka terhadap kebaikan PTMP yang akan dinikmati pada masa hadapan.


Selain Mohd Nasarudin, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang turut menyerahkan petisyen melalui naib pengerusinya, Datuk Jimmy Ong.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan meneliti dua petisyen tersebut terutamanya berhubung impak projek itu kepada pekerja kilang yang terpaksa menempuh kesesakan lalulintas setiap hari untuk ke tempat kerja.

No comments

Loading...