Sebab sebenar Dr M samar-samar tentang projek China
Mungkin ada sebab-sebab tertentu Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berdolak-dalik atau samar-samar tentang
meneruskan atau membatalkan projek besar berkaitan China, menurut akhbar Hong
Kong.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan Dr Mahathir
sedang membantu menjaga air muka China.
SCMP memetik beberapa orang yang rapat dengan Dr Mahathir
sebagai berkata walaupun dia nampak samar-samar mengenai Laluan Kereta Api
Pantai Timur (ECRL) bernilai RM20 bilion dan projek saluran paip gas bernilai
AS$2.3 bilion, di sebalik tabir dia jelas mahu membatalkannya, lapor Free Malaysia Today.
Loading...
Menurut sumber-sumber itu, yang “secara langsung terlibat
dalam perbincangan mengenai masa depan projek-projek yang disokong China”
berkata, Dr Mahathir sengaja samar-samar tentang beberapa urus janji supaya
“tidak jatuh air muka” China akibat pembatalan projek-projek itu ketika
Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) oleh Beijing dikritik serata dunia
sebagai satu bentuk diplomasi perangkap hutang.
Sumber berkata usaha Putrajaya menyalahkan bekas perdana
menteri Datuk Seri Najib Razak, dan bukan China, kerana bersetuju dengan
kontrak yang dianggap tidak adil terhadap Malaysia sebahagian strategi “menjaga
air muka” itu.
“Bagi China, satu dunia akan tahu jika projek-projek itu
langsung dibatalkan. Tiada orang akan mahu berniaga dengan China lagi. Sekarang
pun ada masalah di Sri Lanka, Pakistan, di benua Afrika dan sebagainya.”
“Sebab itu kami asyik sebut ini semua salah Najib, Najib,
Najib, dan bukan salah China. Malaysia tidak mahu malukan anda tapi anda mesti
jaga kepentingan kami juga,” kata sumber itu.
Laporan itu memetik “sumber-sumber kerajaan” sebagai berkata
Dr Mahathir tidak mungkin membatalkan projek berkenaan dengan begitu sahaja
agar “air muka China terjaga”.
“Air muka sangat penting buat China, tetapi kedua-dua pihak
bersetuju projek-projek itu perlu dibatalkan kerana kedudukan kewangan Malaysia,”
lapor SCMP memetik seorang sumber yang “berurusan secara langsung dengan para
perunding China”.
Laporan itu berkata pekerja yang dibawa masuk dari China
untuk mengerjakan projek ECRL sudah dihantar pulang kerana langkah membatalkan
projek itu sudah disahkan.
Laporan itu menarik perhatian kepada kata-kata Dr Mahathir
bahawa warga asing tidak akan dibenarkan membeli unit-unit dalam pembangunan
Forest City di Johor yang disokong China dan mereka tidak akan diberi visa
untuk menetap di sini, dan penjelasan susulan daripada kerajaan.
Sumber-sumber dipetik sebagai berkata “dalam beberapa
keadaan”, kata-kata spontan Dr Mahathir tidak boleh dianggap dasar kerajaan.
SCMP memetik sumber sebagai berkata projek keretapi api
berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura tidak akan dibatalkan, seperti yang
dikatakan Dr Mahathir, tetapi akan ditangguhkan selama 2 tahun.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di
Singapura hari ini dan esok untuk rundingan terakhir sebelum menandatangani
perjanjian menangguhkan projek itu, katanya.
Sementara itu, projek seperti Forest City bernlai AS$100
bilion dan Melaka Gateway bernilai AS$10.5 bilion mungkin akan diteruskan kerana
melibatkan dana persendirian dan bukan projek antara kerajaan seperti ERCL dan
saluran paip gas.
Post a Comment