Header Ads

'Rumah sudah siap tapi pahat terus berbunyi', Annuar sindir Bibi?


PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa sekali lagi memberi 'nasihat' kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang berdepan kemerosotan prestasi dan kemelut hutang yang berpanjangan.

Menurut Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Kafa perlu memahami dua perkara berkaitan aset dan juga hutang apabila mereka bertanggungjawab ke atas skuad pantai timur itu.

Loading...

"Cuma ingat dan faham satu perkara. Apabila kita mengambil alih sesuatu organisasi sama ada syarikat, persatuan hatta negara, kita mengambil alih kedua-dua perkara iaitu aset (harta, pasukan, jenama) dan juga liabiliti atau tanggungan (termasuk hutang).

"Sebab itu fikir baik-baik sebelum mahu mengambil tugas supaya jangan berbangkit kemudian. Rumah sudah siap tapi pahat terus berbunyi," katanya dalam satu kenyataan ringkas di Facebook.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu dalam kenyataan itu tetapi ia dipercayai ditujukan kepada Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Usahawan batik itu sebelum ini mahu kepimpinan terdahulu Kafa membantu melunaskan bebanan hutang badan induk itu yang masih tertunggak.

Bibi sebelum ini mendedahkan beliau membelanjakan wang sendiri tidak kurang RM5 juta untuk membayar hutang pasukan itu.

Pendedahan itu dilakukan selepas beliau dikecam penyokong yang kurang senang dengan pengurusan yang diterajuinya susulan prestasi hambar Kelantan musim ini.


Kelantan tersingkir ke saingan Liga Premier musim depan selepas tumbang 0-2 di tangan Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 23 Julai lalu.

Walaupun masih berbaki satu perlawanan, skuad TRW yang sekadar mampu mengutip 15 mata sepanjang musim ini tidak mampu lagi mengejar Selangor di tangga ke-10 sekali gus memusnahkan misi untuk keluar dari zon penyingkiran.

Kali terakhir Kelantan yang pernah menjuarai Liga Super pada musim 2011 dan 2012 beraksi di Liga Premier ialah pada 10 tahun lalu.

No comments

Loading...