Header Ads

Rambo Bentong gagal batal hukuman mati


PUTRAJAYA: Perogol bersiri yang dikenali sebagai "Rambo Bentong” gagal dalam rayuannya untuk membatalkan hukuman mati kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan Bentong, hampir enam tahun lalu.

Ini adalah hukuman mati kedua yang dijatuhi ke atas lelaki berusia 48 tahun itu atau nama sebenarnya Rabidin Satir.

Loading...

Hukuman mati yang pertama ialah atas sabitan kerana membunuh seorang gadis berusia 17 tahun yang mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di leher dalam sebuah bilik pada 2009.

Dalam kes hari ini (Khamis), Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum menolak rayuan terakhir Rabidin terhadap sabitan dan hukuman mati kerana membunuh kakitangan Jabatan Perhutanan yang dihentak berkali-kali di kepala dengan pistol ketika dia dan isterinya sedang tidur di ruang tamu rumah mereka.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Malanjum berkata sabitan dan hukuman mati ke atas Rabidin oleh Mahkamah Tinggi adalah betul berdasarkan bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan.

Beliau juga mengekalkan sabitan dan hukuman penjara ke atas Rabidin terhadap empat pertuduhan lain termasuk dua pertuduhan merogol isteri si mati.

Rabidin yang memakai pakaian penjara berwarna putih dan merah berdiri di kandang tertuduh dan tidak menunjukkan sebarang emosi.

Panel juga disidangi oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk David Wong Dak Wah dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Azahar Mohamed dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 3 Disember, 2015, Mahkamah Tinggi Pahang menjatuhi hukuman mati ke atas Rabidin kerana membunuh lelaki berusia 31 tahun di Perumahan Jabatan Perhutanan di Jalan Tras, Bentong, Pahang pada 3 November, 2012.

Mahkamah Tinggi juga menjatuhi huikuman penjara dan dua sebatan ke atas Rabidin kerana mengacukan senjata kepada mangsa; penjara lapan tahun dan dua sebatan kerana merompak; dan penjara 12 tahun dan lapan sebatan atas dua pertuduhan merogol isteri mangsa.

Dia melakukan keempat-empat kesalahan tersebut di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Rabidin gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman atas semua pertuduhan pada 15 Mac tahun lepas.


Pada 2014, Rabidin dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh kerana membunuh seorang remaja di sebuah rumah di Kampung Ketari Bentong, Pahang.

Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kemudian menolak rayuannya.

Rabidin juga dituduh merogol gadis itu tetapi Mahkamah Tinggi membebaskannya kerana mahkamah tidak dapat memastikan sama ada rogol dilakukan ketika mangsa masih hidup atau selepas kematiannya.

Pihak pendakwaan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Peguam yang dilantik oleh mahkamah Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Rabidin sementara timbalan pendakwa raya K. Mangai menjalankan pendakwaan dalam kes hari ini di Mahkamah Persekutuan.-Bernama

No comments

Loading...