Header Ads

Rakyat perlu hargai usaha Kerajaan PH


KUALA LUMPUR - Genap 100 hari kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Dalam membicarakan soal 100 hari pemerintahan PH, pasti juga menjadi perbualan ialah manifesto pilihan raya PH dan sejauh mana ia telah dipenuhi.   

Penganalisis yang ditemuramah Bernama berpendapat rakyat negara ini sewajarnya memberi peluang kepada kerajaan yang baharu dibentuk untuk membuktikan kewibawaan mereka selepas memenangi PRU kerana tempoh 100 hari bukanlah penamat atau petunjuk kegagalan buat PH.

Loading...

"Secara keseluruhan, saya melihat sehingga kini banyak perubahan yang diperkenalkan oleh kerajaan baharu dan usaha itu perlu dihargai.

“Masyarakat seharusnya rasional dalam memberi pandangan mereka berkaitan pelaksanaan manifesto PH dalam 100 hari. 

Dan jika kerajaan gagal melaksanakan sepenuhnya semua manifesto tersebut dalam masa itu bukan bermakna kredibiliti mereka tercalar atau gagal.

“Ini kerana pelaksanaan beberapa perkara dalam manifesto tersebut memerlukan kerjasama dan persetujuan daripada pelbagai pihak berkepentingan dan disebabkan itulah rakyat perlu beri peluang,” kata Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada Bernama.

Ada yang tercapai

Malah, tambah beliau, adalah tidak adil untuk mempertikaikan kewibawaan kerajaan PH hanya kerana tidak dapat melaksanakan semua perkara dalam manifesto terbabit pada tempoh ditetapkan berikutan pentadbiran mereka masih baharu malah belum pun cukup setahun.  

“Sedangkan selama lebih 60 tahun kerajaan sebelum ini memerintah negara, situasi kegagalan melunaskan janji turut berlaku di mana banyak perkara dalam manifesto kepimpinan terdahulu yang tidak terlaksana sehingga sekarang, “ katanya.


Atas sebab itulah, Ahmad Martadha berkata tidak wajar melabelkan PH tidak komited untuk melaksanakan janji mereka atau menipu pengundi apatah lagi boleh dikatakan kebanyakan atau sebahagian janji manifesto sudah digerakkan dan ada yang telah tercapai.  
Beliau memberikan contoh janji memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah dilaksanakan dengan memperkenalkan GST pada kadar sifar bermula 1 Jun lalu dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuatkuasa pada 1 Sept ini.

Selain kajian terperinci mengenai beberapa projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing seperti Laluan 3 Aliran Transit Massa (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ERCL), Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan merombak semula struktur kepimpinan Felda, Mara dan Tabung Haji telah berjaya dilaksanakan.

Harus beri peluang

Manakala janji menghapuskan hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA, menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40, sedang dalam pelaksanaan secara berperingkat.

Menurut Ahmad Martadha biarpun janji Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 belum dilaksanakan namun kerajaan sentiasa membincangkannya terutama meneliti terma dalam perjanjian tersebut.

Ini termasuklah usaha kerajaan merealisasikan janjinya memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar petroleum di negara ini.


“Masyarakat boleh melihat sendiri sebahagian besar manifesto tersebut telah pun berjaya dilaksanakan. Ini menunjukkan kerajaan mempunyai iltizam yang tinggi untuk melunaskan janji mereka kepada rakyat,” katanya.

Jelasnya lagi, masalah kewangan negara yang sering diperkatakan oleh Perdana Menteri mahupun barisan kabinet dalam merealisasikan manifesto berkenaan bukanlah alasan semata-mata untuk mengelak daripada menunaikan janji

Tetapi, ia merupakan realiti yang harus diakui semua pihak bahawa bebanan hutang negara yang melebihi RM1 trilion sedikit sebanyak telah menyukarkan pasukan pimpinan kerajaan PH untuk melunaskan manifesto merek.

“Maklumat yang diperolehi (berkaitan dengan hutang) tidak berdasarkan kepada kesemua hutang yang ada kerana ada tidak dilaporkan seperti hutang syarikat 1MDB yang ditanggung kerajaan.

“Masyarakat harus faham apabila hutang meningkat, keupayaan kerajaan untuk membiayai program terpaksa dikurangkan berikutan perlu membayar kadar faedah yang tinggi. Disebabkan itulah, tumpuan mengurangkan hutang negara menjadi agenda utama kerajaan PH,” kata Ahmad Martadha.

Keyakinan rakyat

Penganalis politik Azmi Hassan berkata, selain kekangan yang disebut Ahmad Martadha, faktor kurang pengalaman pentadbiran juga antara faktor yang dikenalpasti sebagai punca mengapa manifesto PH sukar tercapai sepenuhnya dalam tempoh 100 hari.

Menurut beliau, ramai menteri kabinet terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai pengalaman, jadi sukar untuk memahami proses pentadbiran terutama yang melibatkan undang-undang dan peraturan dalam kerajaan.

“Kalau kita tengok yang berpengalaman hanya Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Saifuddin Abdullah. Keadaan ini pastinya perlukan masa untuk proses pentadbiran berjalan lancar.

 “Dengan pelbagai kekangan yang dihadapi, amat penting rakyat beri peluang kepada kerajaan PH untuk membuktikan kewibawaan mereka sebagai pemimpin. Tetapi, saya berpandangan rakyat mempunyai keyakinan kesemua janji tersebut mampu dilaksanakan biarpun ia bukan dalam julat 100 hari.

“Terdapat perasaan memberi peluang dan ruang secukupnya kepada kerajaan PH yang tersemai dalam kalangan majoriti rakyat pada ketika ini dan disebabkan itulah saya hujahkan bukan menjadi keadaan terdesak untuk melunaskan semua janji dalam tempoh tersebut,” kata Azmi.

Lagipun pelbagai manfaat dan penambahbaikan kualiti hidup yang telah dirasai rakyat sepanjang 100 hari pentadbiran kerajaan PH antaranya mendepani keperluan menampung sara hidup dengan penstabilan harga minyak RON95 pada kadar RM2.2O seliter dan diesel RM2.18 seliter serta pelaksanaan kadar sifar GST sejak 1 Jun lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin yang dihubungi melalui telefon berkata corak aliran pembelian di rangkaian pasaraya Mydin menunjukkan peningkatan sebanyak 3 hingga 5 peratus sejak sifar GST dilaksanakan.

Beliau memberi contoh peningkatan berkenaan bagi barangan elektrik seperti televisyen, alat pengisar elektrik, periuk nasi serta barang perhiasan rumah dan baju.

Bagaimanapun, jualan barangan asas seperti beras dan gula kekal sama.

Meskipun sifar GST akan tamat pada akhir Ogos ini kerana digantikan dengan SST pada 1 Sept tetapi ia dipercayai tidak akan membebankan pengguna.

Ini kerana SST hanya ditanggung oleh pengeluar atau pengilang dan pengguna tidak lagi perlu membayar untuk harga ‘cukai atas cukai’ seperti yang dikenakan semasa GST.  –Bernama

No comments

Loading...