Header Ads

Projek mahal, Najib bidas sikap 'double standard' PH


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Pakatan Harapan kerana mengecam projek yang dimulakannya tetapi membenarkan projek mahal seperti projek Lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL-1) dan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) diteruskan.

Bekas perdana menteri itu berkata projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sentiasa dikritik sebagai pembaziran dan terlalu mahal.

Loading...

Menurut Najib, Pakatan Harapan mendakwa harga RM55 bilion untuk 688km, iaitu RM80 juta satu km, terlalu mahal walaupun projek ini termasuk kos keretapi, kos untuk membina 27 stesen serta pembinaan terowong sepanjang 50km dan akan memberi manfaat kepada lima negeri.

Beliau berkata lima negeri itu selama ini ketinggalan dari segi pembangunan.

"Tetapi peliknya, bila kerajaan Pakatan Harapan tegas untuk membuat projek mega seperti projek lebuhraya Pan-Island Link 1 (PIL-1) sepanjang 19.5km yang dulunya dianggarkan menelan kos RM7.5 bilion (RM385 juta bagi setiap km) dan kini kos dikatakan sudah meningkat ke RM9 bilion (RM461 juta setiap km).

"Walaupun penduduk-penduduk Pulau Pinang membantah projek ini kerana ia melibatkan kos terlalu tinggi dan tidak diperlukan," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang sudah memohon RM1 bilion dari kerajaan persekutuan sebagai modal permulaan projek PIL ini.

Najib mendakwa projek itu pada harga RM461 juta satu kilometer juga jauh lebih mahal dari kos projek Lebuhraya Kinrara-Damasara (KIDEX) bernilai RM161 juta satu km.

Katanya, pemimpin DAP pernah menuduh beliau sebagai membazir dan dikatakan lebuhraya termahal di Malaysia pada 2015.


"Agak pelik bila kerajaan boleh membeli syarikat air swasta di Selangor dengan harga RM2.55 billion iaitu 10 kali ganda lebih mahal dari tawaran asal dan memberi RM1 bilion untuk projek lebuhraya termahal di Malaysia tetapi tidak mahu membayar wang sara hidup untuk peneroka Felda nelayan, menaikkan gaji penjawat awam dan terbarunya mahu mengurangkan jumlah penerima BR1M.

"Ini sekaligus membuktikan bahawa serangan dan tohmahan bertalu-talu dilakukan sebelum PRU14 telah berjaya menyembunyikan realiti bagi memperdaya rakyat," katanya.

No comments