Header Ads

Projek libat penyertaan asing hanya untung orang luar, kata menteri


Projek infrastruktur mega membabitkan penyertaan pihak asing dan membebankan kewangan negara hanya memberi keuntungan kepada orang luar, bukannya peniaga serta rakyat tempatan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, status projek berkenaan dibincangkan pada mesyuarat pembangunan fiskal negara pagi tadi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Loading...

“Ini sedang kita semak. Ada yang mungkin batal. Ada yang akan ditangguhkan sehinga ekonomi negara pulih,” katanya dalam wawancara di TV1, malam tadi.

Bagaimanapun tegasnya, projek yang "people centric" (berasaskan rakyat) akan diteruskan seperti pembinaan jalan raya, jambatan dan bekalan elektrik.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pula, perbincangan antara Singapura dan Malaysia untuk menangguhkannya sedang berjalan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berkata, peranan sesetengah agensi harus diteliti atau disemak semula kerana sudah terpesong daripada agenda asal penubuhannya.

“Apa yang berlaku ialah, pengurusan menjadi lebih berminat dengan perkara lain sehingga matlamat mereka tidak sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

Tambahnya lagi, menyemak semula adalah penting untuk mengurangkan kos operasi yang menelan belanja besar.

Dalam wawancara itu, beliau juga berkata, jurang antara golongan elit Bumiputera dengan kumpulan B40 harus dirapatkan.

Katanya, menurut perangkaan tahun 2014, pendapatan individu antara kaum adalah hampir sama iaitu satu per tiga daripada keluaran dalam negara kasar.

Namun, pendapatan bagi T20 golongan Bumiputera ialah 2.5 kali ganda daripada golongan B40.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia akan mewujudkan persekitaran yang tidak kondusif,” katanya.

Wawancara itu turut membincangkan mengenai Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu ini yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri dan dijangka dihadiri 2,000 pihak berkepentingan ekonomi Bumiputera.

- Bernama

No comments

Loading...