Header Ads

PPBM kritik PKR: Jangan 'celupar, biadab' tuduh Mahathir sekat Anwar


KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Pemimpin PKR perlu berhenti menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri,

Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga menggesa pemimpin atasan PKR membantah kenyataan pemimpin mereka yang "biadab."

Menggesa PKR menjaga "adab" dan tidak "celupar", seorang ahli majlis tertinggi PPBM menggesa PKR "berbicaralah mengenai hal ehwal parti sendiri dan jangan memfitnah pemimpin parti lain."

Loading...


"Dalam kami menghormati persahabatan yang dibina, janganlah pula ada pemimpin parti lain yang celupar menfitnah semata-mata kerana nafsu mahu mengejar jawatan dunia," kata Wan Saiful Wan Jan dalam satu kenyataan.

"Tuduhan liar dan fitnah mungkin budaya orang lain tetapi kami dalam PPBM diajar oleh Dr Mahathir untuk menghormati semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan."

Walau Wan Saiful tidak menyebut pemimpin PKR berkenaan, kenyataannya itu dipercayai merujuk dakwaan ahli parlimen Kapar Abdullah Sani.

Berkempen untuk Rafizi Ramli, Abdullah dilaporkan mendakwa Anwar berdepan masalah jika Datuk Seri Azmin Ali tidak ditewaskan dalam pemilihan timbalan presiden PKR mulai bulan depan.

"Beberapa pihak yang telah menganiaya Anwar sebelum ini berkonspirasi untuk menghalang beliau menjadi perdana menteri dan saya secara terbuka akan mengatakan bahawa Tun Daim Zainuddin mempunyai peranan dalam hal ini.

"Sekiranya kita tidak memilih Rafizi [sebagai timbalan presiden], Anwar pastinya akan mempunyai masa yang sukar untuk menjadi perdana menteri," katanya semalam seperti dilapor mStar Online.

Sebelum pilihan raya lalu PH mengumumkan Anwar, ketua umum PKR, akan menggantikan Dr Mahathir, pengerusi PPBM, tetapi tiada tempoh masa khusus ditetapkan.

Kenyataan Dr Mahathir pula meletakkan tempoh lebih dua tahun atau pertengahan penggal sebagai proses peralihan tersebut.

Namun beberapa pihak, dalam dan luar parti, membuat spekulasi Dr Mahathir dengan bantuan Daim sedang mempersiapkan Azmin, kini menteri hal-ehwal ekonomi, untuk mengganti beliau.

Semalam Anwar pula dilaporkan telah menasihati Rafizi agar tidak mencabar Azmin tetapi bekas wakil rakyat Pandan itu mempunyai hujah lain.

Rafizi, naib presiden PKR, dilihat berada di kem berbeza daripada Azmin dan ketegangan mereka sudah tidak asing lagi di kalangan pemimpin parti.

- Projek MM

No comments

Loading...