Header Ads

PM: Khidmat Majlis Penasihat Kerajaan masih diperlukan


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan khidmat Majlis Penasihat Kerajaan masih diperlukan kerana mereka mempunyai banyak pengalaman untuk menyelesaikan pelbagai isu penting.

Beliau berkata walaupun kerajaan mempunyai barisan Kabinet penuh tetapi ramai daripada anggotanya ​​​​​​adalah baharu dan tiada berpengalaman untuk menyelesaikan sesuatu isu.

“Saya perlu mengakui Kabinet kami tiada pengalaman dan ramai yang baharu. Saya perlu bekerja dengan cepat dan saya perlukan seseorang yang berpengalaman untuk menyusun sesuatu tugas.

Loading...


“Menteri baharu tidak berapa tahu mengenai tanggungjawab dalam setiap kementerian. Mereka masih tercari-cari jalan dan mereka tidak boleh melakukan banyak siasatan,” katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata demikian kepada Bernama, New Straits Times Press (NSTP) dan Utusan Malaysia selepas merasmikan sesi town hall pertama parti berkenaan di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir berkata MPK akan dikekalkan dan diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sementara peranan majlis itu akan diperbaharui.

Ditanya mengenai pelantikan Dr Muhammed Abdul Khalid sebagai penasihat ekonominya, Dr Mahathir berkata beliau (Muhammed) tidak berada dalam Majlis Penasihat Kerajaan tetapi sebaliknya berperanan sebagai penasihat ekonomi kepada beliau.

“Saya memerlukan analisis berterusan mengenai apa yang berlaku dalam ekonomi negara,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) melantik Muhammad sebagai Penasihat Ekonomi kepada Dr Mahathir berkuat kuasa 27 Ogos ini.

Muhammed kini merupakan pengarah urusan dan ketua pakar ekonomi firma DM Analytics Malaysia.

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di Institut Penyelidikan Khazanah, Suruhanjaya Sekuriti dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

- Bernama

No comments

Loading...