Header Ads

Permohonan keluarga Altantuya guna penghakiman kes bunuh didengar mahkamah 25 Sept


Permohonan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan keluarganya untuk mengguna pakai keputusan berkaitan kesalahan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung kes pembunuhan model Mongolia dalam saman sivil RM100 juta keluarga itu akan didengar pada 25 September ini.

Ketika ditemui media selepas prosiding kes itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika pengurusan kes.

"Kami membangkitkan satu isu perundangan berkenaan sama ada kita boleh atau tidak menerima pakai prosiding di mahkamah jenayah. Permohonan kami adalah untuk mahkamah membuat keputusan sama ada prosiding di situ (Mahkamah Persekutuan) boleh diterima pakai dalam kes sivil atau tidak.


Loading...

"Pihak-pihak kami telahpun memfailkan hujahan dan mahkamah menetapkan 25 September untuk mendengar permohonan ini, sekiranya prosiding di mahkamah jenayah diguna pakai di sini maka kita tidak perlulah memanggil kesemua saksi semula.

"Jadi, ia satu isu yang penting untuk mahkamah memutuskannya," katanya.

Pada Julai lalu, Shaariibuu melalui peguamnya memfailkan permohonan supaya keputusan berkaitan kesalahan jenayah di Mahkamah Persekutuan berhubung pembunuhan anaknya Altantuya diguna pakai dalam saman sivil RM100 juta keluarga itu.

Pada 4 Jun 2007, Shaariibuu dan ibu Altantuya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelakinya, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap dua bekas polis daripada Unit Tindakan Khas, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar serta penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia.

Abdul Razak didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya, 28 tahun, pada 2006. Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Oktober 2008 di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri sementara Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Dalam penyataan tuntutan, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka dibayar pampasan serta ganti rugi teladan dan teruk.

- Bernama

No comments

Loading...