Header Ads

Perjanjian berat sebelah, bodoh setuju AES, kata menteri


PUTRAJAYA, 20 Ogos — Pembatalan saman tertunggak Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sejak 2012 adalah kerana perjanjian tersebut berat sebelah dan kutipan bayarannya tidak membawa hasil kepada kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.


Menurutnya, berdasarkan perjanjian yang ditandatangani kerajaan terdahulu pada Disember 2011 dan berkuat kuasa pada 2012, dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu iaitu ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dibayar RM16 untuk setiap saman sah yang dikeluarkan, terhad 10 juta saman setahun.
Selain itu, katanya 50 peratus daripada bayaran saman dikutip (kadar RM300) terhad kepada RM540 juta setahun.

Loading...

Pada tahun 2016 pula, kerajaan menetapkan kadar saman AES dikurangkan daripada RM300 kepada RM150 dan kerajaan terikat untuk menyerahkan sepenuhnya hasil kutipan kepada dua syarikat pengendali itu, katanya.
“Perjanjian ini amat berat sebelah kerajaan tidak hilang apa-apa kerana ia adalah ‘zero profit’ (sifar untung) berikutan perjanjian berat sebelah itu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Loke berkata kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak syarikat pengendali AES yang tamat pada hujung bulan ini kerana tidak bersetuju penguatkuasaan diswastakan kepada dua syarikat konsesi.
"Mereka yang membuat keputusan ini dan menandatangani perjanjian berat sebelah ini, adalah bodoh untuk menandatangani perjanjian ini,” katanya.
Jumaat lepas, Loke mengumumkan semua saman AES dikeluarkan sejak 2012 membabitkan 3.1 juta saman dengan nilai bayaran kira-kira RM435 juta dibatalkan.
Selain itu, sistem AES diambil alih sepenuhnya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 September ini, selepas kerajaan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dua syarikat konsesi iaitu Beta Tegap dan ATES.
Sementara itu, Loke berkata dua syarikat pengendali sistem AES itu telah menerima bayaran RM129 juta berdasarkan jumlah saman yang telah dibayar sejak 2012 sehingga Mei tahun ini.
Setakat ini, beliau berkata sebanyak 38 kamera AES beroperasi sepenuhnya, tujuh lagi kamera dalam proses kalibrasi dan dua dalam proses pemasangan.
“Kedua-dua syarikat ini telah mengaut keuntungan berganda berbanding pelaburan yang dibuat yang dianggarkan hanya RM10 juta sahaja,” katanya.

Loke berkata beliau boleh menerima kritikan daripada sesiapa tetapi tidak daripada pemimpin MCA berikutan pengumuman pembatalan saman AES itu di mana banyak pihak mempersoalkan tindakan kerajaan.
“Mereka (pemimpin MCA) boleh kata kerajaan tidak bertindak adil kepada mereka yang sudah membayar saman, ada pula mahu saya meminta maaf.
"Please use your brain before you talk (Tolong guna otak anda sebelum anda bercakap),” katanya, sambil menambah bahawa bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Kong Cho Ha yang menandatangani perjanjian itu.
Sementara itu, Loke menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang jalan raya masih berjalan seperti biasa sehingga 31 Ogos walaupun saman AES dibatalkan.
“Jangan beranggapan boleh memandu melebihi had laju sebelum penguatkuasaan AES bermula pada 1 September ini.
"Ini adalah pemikiran tidak matang kerana penguatkuasaan bukan hanya pada JPJ atau AES sahaja tetapi polis trafik masih menjalankan tugas,”katanya.
Loke berkata beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah JPJ pada minggu lepas untuk memaklumkan polis bagi mempertingkatkan penguatkuasaan sepanjang tempoh terbabit.
“Bermula 1 September, kita akan ada hala tuju baharu dan penguatkuasaan jalan raya akan lebih ketat,” katanya.
Beliau berkata pemasangan kamera AES melalui proses yang ketat dan lokasi pemasangan ditentukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kadar saman akan diberitahu kemudian. — Bernama

No comments

Loading...