Header Ads

Pendakwaraya cabar ikat jamin Jamal Yunos


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan 3 penjamin berlainan.

Ketua unit perbicaraan dan rayuan jabatan itu, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria ketika ditanya berkata jabatan itu memfailkan notis rayuan tengah hari semalam.

Rayuan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Loading...


Pihak pendakwaan boleh memfailkan rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Yazid Mustafa pada 31 Julai lepas.

Menurut portal Free Malaysia Today, Jamal yang ditahan di Penjara Sungai Buloh selama 27 hari kemudiannya dibebaskan pada 31 Julai selepas membayar jaminan.

Hakim Yazid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jamal yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret Ampang pada 30 Julai lepas yang membatalkan perintah ikat jamin yang diberikan kepada Jamal bagi 2 pertuduhan menceroboh pusat perjudian.

Dalam penghakimannya, Hakim Yazid berkata majistret tidak mempunyai sebarang budi bicara untuk membatalkan jaminan yang diberikan walaupun mendapati penjelasan pemohon (Jamal) tidak memuaskan.

Beliau membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi 2 kes ceroboh pusat perjudian di Ampang dengan 2 orang penjamin yang berlainan dan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kesalahan melarikan diri dari Hospital Ampang.

Bagi tuduhan menceroboh, Jamal didakwa bersama-sama 4 lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas.

Dia juga didakwa bersama seorang yang dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3.30 petang dan 3.40 petang, 29 Disember 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Julai, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

No comments

Loading...