Header Ads

Pemuda UMNO, 27 NGO bantah pelantikan Amarjit Singh

ABDUL Aziz Julkarnain menyerahkan memorandum pelantikan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah. - UTUSAN ONLINE

KOTA KINABALU 16 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO Sabah bersama 27 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah pelantikan Amarjit Singh sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang baharu.

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, selain NGO, turut menzahirkan sokongan bantahan adalah aktivis-aktivis masyarakat demi menjaga kepentingan perkhidmatan awam dan kakitangan kerajaan.

Loading...

Menurutnya, bantahan tersebut dibuat atas desakan masyarakat yang mahukan integriti dan profesionalisme dalam jabatan-jabatan kerajaan terus terpelihara.

“Pelantikan tersebut adalah tidak wajar kerana bertentangan dengan peruntukan undang-undang dalam Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 dan umum mengetahui bahawa dia bukanlah pegawai sedia ada dalam perkhidmatan awam Sabah, sebaliknya bekas Setiausaha Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Putatan.

“Selain itu, lantikan tersebut turut menggugat kredibiliti jabatan memandangkan dia juga pernah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Oktober 2017 lalu berhubung siasatan skandal penyelewangan dana jabatan melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu Abdul Aziz mewakil semua NGO berkenaan menyerahkan memorandum bantahan diserahkan kepada Penolong Pegawai Tadbir Kanan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS), Rosli Abas bagi menggantikan Pengerusi SPANS, Datuk Ismail Bin Awang Besar di pejabatnya, di sini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, Pemuda UMNO Sabah berasa kesal dengan pelantikan tersebut kerana boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif termasuk daripada aspek pelanggaran undang-undang dan menjejaskan intergriti jabatan dan institusi kerajaan.


“Sehubungan itu, kami meminta agar kerajaan negeri mengkaji balik tawaran pelantikan tersebut sekali gus dan membatalkannya jika sudah mula berkuatkuasa.

“Ini bagi mengelakkan ada sebarang tindakan perundangan diambil sekiranya pelantikan tersebut diteruskan kerana tidak berlandaskan undang-undang dan enakmen sedia ada,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE

No comments

Loading...