Header Ads

Pemilik ECRL terkejut dengan pembatalan projek


Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) mengejutkan pegawai kanan pemilik projek ECRL, Malaysia Rail Link (MRL).
Ini adalah kerana pegawai MRL sedang dalam perbincangan berterusan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Kewangan mengenai cara-cara untuk menurunkan kos pembinaan projek itu.

Loading...

"MRL telah membayar lebih RM10 bilion kepada kontraktor utama, China Communications and Constructions Company (CCCC) dan terdapat tuntutan sebanyak RM9 bilion untuk kerja yang telah dilakukan.
"Jadi, ini akan menjadi pembaziran kerana jumlah pampasan kepada mereka adalah agak tinggi," kata sumber dari MRL, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Star hari ini.
Akhbar itu turut melaporkan sesetengah pekerja ECRL masih belum menerima arahan daripada pihak pengurusan atasan.
"Sekarang, kita tidak tahu status sebenar projek itu.
"Kami masih menunggu pengumuman dari pihak pengurusan atasan," kata seorang pekerja pembinaan kanan yang enggan namanya disebut.
Seorang lagi pekerja pembinaan dilaporkan memberitahu bahawa sebahagian besar kakitangan dalam projek ECRL ini terdiri daripada pekerja tempatan, dengan pekerja dari China hanya antara 18 hingga 20 peratus.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa ECRL dan Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai berbilion ringgit, dibatalkan dengan kerajaan terpaksa membayar jumlah pampasan yang besar kerana kebodohan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 km yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, yang dilancarkan tahun lalu, dijadual siap pada 2024.
Namun sehingga hari ini, masih belum dapat dilihat kerja-kerja pembinaan yang dilakukan di beberapa kawasan.
Tapak di Kuantan, yang majlis pecah tanah disempurnakan oleh Najib dilaporkan masih sebagai tanah kosong.
Seorang pengawal keselamatan memberitahu The Star bahawa tiada kerja-kerja pembinaan dilakukan sejak upacara itu dan tidak ada pekerja di lokasi tersebut.
Walaupun dia terkejut dengan pengumuman Mahathir tentang pembatalan projek itu, katanya, tidak ada apa-apa kerja pembinaan yang perlu dihentikan di tapak tersebut.
- Malaysiakini

No comments

Loading...