Header Ads

Pelantikan Duta Khas ke China belum muktamad


PELANTIKAN Pengerusi DAP, Tan Kok Wai sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China belum dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan pelantikan itu namun terma dan syarat perkhidmatan belum diputuskan.

Loading...

Liew berkata, perkara itu belum dimaklumkan kepada Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan.

“Terma dan syarat pelantikan ini hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan datang,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-MCA Ayer Hitam) yang ingin mengetahui bilangan Duta Khas Perdana Menteri dilantik sejak Dr Mahathir menerajui negara.

Wee dalam soalan tambahannya mempersoalkan pelantikan Tan kerana beberapa Ahli Parlimen PH mengkritik hebat pelantikan beberapa duta khas Perdana Menteri terdahulu, termasuk bekas Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu.

“Sebelum ini mereka menyatakan pelantikan duta khas membazir wang rakyat dan berlaku pertindihan peranan dengan jawatan duta Malaysia ke negara luar,” katanya.

Liew berkata, pelantikan duta khas Perdana Menteri berbeza dengan duta Malaysia ke negara luar negara.


“Duta dilantik Yang di-Pertuan Agong dan diberi pelbagai keistimewaan sepanjang tempoh perkhidmatan manakala Duta Khas Perdana Menteri dilantik secara kontrak, mungkin dua tahun dan tidak diberi taraf menteri,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Cheras itu dilapor akan menggantikan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting, yang menjadi duta khas ke China menerusi pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

No comments

Loading...