Header Ads

Pakar bius Malaysia racun isteri, anak sampai mati guna bola yoga


HONG KONG: Seorang pakar bius meracuni isteri dan anak perempuannya sehingga maut dengan menggunakan bola yoga yang diisi dengan karbon monoksida.

Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Khaw Kim-sun meninggalkan bola tersebut dalam bonet kereta, di mana kebocoran gas berlaku sehingga membunuh mereka, menurut laporan daripada mahkamah Hong Kong itu pada Rabu.

Loading...

Isteri suspek dan anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun ditemukan di dalam sebuah kereta Mini Cooper (2015) berwarna kuning di tepi jalan.

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di hospital sama tempat Khaw bekerja dan laporan bedah siasat mendapati mereka maut akibat menghidu karbon monoksida.

Pihak polis turut menemui bola yoga yang sudah kempis di belakang kereta terbabit.

Khaw mengaku tidak bersalah melakukan dua pembunuhan.

Pihak pendakwaan berkata pada Rabu, Khaw yang merupakan warganegara Malaysia berusia 53 tahun mempunyai hubungan sulit dengan seorang pelajar dan isterinya enggan bersetuju untuk bercerai.

Mereka mendakwa suspek merancang melakukan plot pembunuhan secara sengaja, lapor The Star ketika memetik laporan South China Morning Post.

Pihak pendakwaan turut berkata, Khaw mungkin tidak berniat untuk membunuh anak perempuannya.

Mahkamah mendengar dalam temu bual polis bahawa Khaw berkata, dia mendesak anak perempuannya untuk tinggal di rumah dan menyiapkan kerja sekolah pada hari kejadian, lapor Apple Daily.

Khaw dilihat mengisi dua bola yoga dengan karbon monoksida di Chinese University.

Dia turut bertugas sebagai profesor madya di universiti tersebut.


Khaw memberitahu rakan sekerjanya bahawa dia ingin menggunakan gas itu ke atas arnab, namun kemudian memberitahu polis bahawa dia mengambil gas tersebut untuk menghapuskan tikus di rumahnya.

Perbicaraan kes tersebut bersambung pada Khamis. - AFP

No comments

Loading...