Header Ads

Najib yakin siasatan buktikan kerajaan BN tak rompak GST


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membuktikan kerajaan BN sebelum ini tidak merompak hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Najib menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, dia telah membaca secara teliti serta mempunyai pandangan terhadap kenyataan dikeluarkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memberi penjelasan tentang ‘kehilangan’ RM18 bilion baru-baru ini.

Loading...

Menurutnya, pihak Kastam mengesahkan kutipan GST tidak dicuri, dirompak atau disalurkan ke mana-mana akaun tidak sah, sebaliknya didepositkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan yang kemudiannya membayar kepada akaun tuntutan GST secara berkala.

”Tuntutan yang dibuat selepas PRU14 bagi GST input untuk April dan Mei kemungkinan pada jumlah yang sangat besar kerana pada bulan berikutnya adalah GST sifar dan perniagaan boleh menuntut kesemua cukai input GST bahan mentah mereka serta merta menyebabkan sama ada mereka membuat jualan atau sebaliknya.

“Biarpun mengambil kira tuntutan GST bagi April dan Mei amat tinggi di mana ia bukan lagi di bawah kerajaan BN, masih lebih 76 peratus daripada tuntutan GST sudah dibuat oleh kerajaan BN dan menunjukkan tidak berlaku langsung rompakan seperti dituduh,” katanya.

Najib berkata, dia tidak pernah menuduh kerajaan PH menggunakan kesemua RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja tetapi untuk masa tiga bulan ini.

“Ini jawapan yang tidak masuk akal dari Lim Guan Eng (Menteri Kewangan). Mengapa Menteri Kewangan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk menyedari terdapat tunggakan tuntutan sebanyak RM18 bilion dan kini berkata kerajaan tidak boleh membayarnya kerana wang itu sudah ‘dirompak?’ RM18 bilion bukan angka yang kecil.

”Apa yang saya lihat, kerajaan PH tidak menjangka peningkatan mendadak tuntutan GST sebaik ia disifarkan,” katanya.


Menurutnya, pengecualian cukai GST selama tiga bulan di mana kerajaan tidak lagi memperoleh pendapatan dari GST atau SST turut bermakna wang di dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya disalurkan, mungkin sudah digunakan bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

”Diburukkan lagi dengan kutipan SST yang lebih rendah berbanding GST, kerajaan dijangka tidak memiliki dana untuk membayar tuntutan GST tertunggak itu.

“Ini akan memberi kesan kepada pelabur yang risau bahawa janji Guan Eng bahawa kerajaan PH akan mencapai defisit bajet 2.8 peratus tidak akan dapat ditunaikan,” katanya.

Menurutnya, tidak mencapai sasaran janji defisit bajet turut akan mengurangkan keyakinan pelabur dan akan menyebabkan penarafan kredit negara ini diturunkan.

Sementara itu, Najib turut menjelaskan tempoh tuntutan yang dibuat Kastam adalah pada 31 Mei lalu dan BN hilang kuasa pada 9 Mei lalu.
“Ini bermakna, permintaan untuk menyalurkan dana ke akaun amanah tuntutan GST bagi bulan April dan Mei lalu adalah di bawah pentadbiran PH,” katanya.

“Jumlah tuntutan adalah berdasarkan kepada boring GST-3, di mana ia diisi oleh pemilik perniagaan untuk membuat tuntutan. Ia kemudiannya bergantung kepada berapa jumlah yang sudah diaudit atau diluluskan pihak Kastam. Ia adalah jumlah kasar dan bukan jumlah yang sudah diluluskan.


Najib turut mempersoalkan berapakah jumlah tertunggak yang sudah diaudit, ditolak atau diluluskan oleh Kastam sebelum membuat permohonan dana dipindahkan ke dalam akaun amanah tuntutan GST?

Malah berapa jumlah daripada RM19.4 bilion ini adalah dari tuntutan baharu berikutan daripada pensifaran GST?

”Apapun, hasil siasatan PDRM, SPRM dan PAC yang difailkan oleh beberapa pemimpin BN sendiri akan pasti menunjukkan siapa yang bercakap benar dan sebaliknya, sama ada berlaku ‘rompakan’ sebagaimana dituduh oleh Guan Eng,” katanya.

Semalam, Kastam menyatakan RM19.4 bilion telah dituntut untuk pembayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi tidak diluluskan oleh Tabung Amanah.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam berkata, daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018.

Kelmarin, Khairy membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 2.00 petang berhubung dakwaan Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan GST yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga telah ‘dirompak’ oleh kerajaan BN.

Khairy berkata tuduhan yang dibuat oleh Guan Eng semalam di Dewan Rakyat berhubung isu berkenaan merupakan tuduhan yang serius dan memerlukan bukti kukuh.

Semalam juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat suruhanjaya itu berhubung isu bayaran balik cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM18 bilion yang didakwa 'dirompak'.

Menurut Mohd Irwan yang ditemui di hadapan bangunan SPRM kira-kira jam 11.38 pagi, beliau membuat laporan kepada SPRM kerana dakwaan 'merompak' berkenaan tidak berasas.

Sebelum itu, Guan Eng mendakwa bahawa kerajaan sebelum ini telah menyalahgunakan RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST yang telah dikutip sejak sistem itu diperkenalkan.

Katanya, tempoh pembayaran yang sepatutnya diberikan kepada peniaga adalah dalam masa dua minggu namun ia tidak berlaku sehingga tertangguh selama dua tahun.

- Sinar Harian

No comments

Loading...