Header Ads

Najib patut terima hakikat rakyat sudah tolak GST


Mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berterusan mempertahankan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan mendakwa GST hanya dikenakan ke atas golongan kaya serta usahawan besar dan dengan ketiadaan GST ini, golongan terbabitlah paling beruntung.

Najib menambah, kehilangan punca pendapatan daripada golongan ini, kononnya tidak lagi dapat membantu golongan miskin yang terdiri daripada kumpulan B40.

Najib juga menyerang Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan mengatakan bahawa beliau berharap ‘Malaysia Baharu’ bukan sahaja untuk golongan kaya dan usahawan besar.

Loading...


Najib lupa bahawa GST telah memberi kesan terhadap rakyat Malaysia di segenap lapisan, terutamanya golongan miskin dan tidak berkemampuan yang mana golongan ini tidak dikenakan cukai sebelum ini.

Ini sekaligus meletakkan bebanan kewangan berterusan ke atas rakyat sehinggakan mereka tidak ada pilihan melainkan untuk mengubah kerajaan untuk kali pertama selepas 61 tahun.

Ini kerana apabila tiada perubahan, bermakna GST akan kekal serta menekan rakyat. Kerajaan Malaysia baharu sudah menunaikan janji dengan menghapuskan GST.

Amaran kerajaan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan jatuh muflis dengan ketiadaan GST tidak benar sama sekali.

Bahkan bayaran BR1M (kini dikenali sebagai Bantuan Sara Hidup atau BSH), masih lagi diteruskan meskipun tanpa kewujudan GST. BSH disasarkan kepada golongan kumpulan B40.

Bagaimana pula Najib boleh mendakwa golongan miskin ini tidak dibantu sedangkan bayaran terakhir BSH tahun ini akan diagihkan bermula 15 Ogos, seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha?

Sebanyak 4.1 juta rakyat akan menerima BSH yang menelan anggaran kos RM1.6 bilion.

Kumpulan B40 ini terus dibantu apabila kerajaan baharu menstabilkan harga petrol dimana kerajaan sebelum ini hanya membuat apungan berdasarkan harga pasaran.

Walaupun harga minyak antarabangsa meningkat sebanyak 42 peratus daripada Bajet 2018 dengan anggaran USD52 setong ke USD74 setong, harga RON95 serta diesel tetap kekal pada masing-masing RM2.20 dan RM2.28 seliter.

Ini membabitkan subsidi petrol kira-kira 30 sen seliter berjumlah RM3 bilion yang ditanggung kerajaan sehingga penghujung tahun 2018.

Oleh itu, Najib terbukti salah apabila menyatakan GST adalah bagus dan menuduh kerajaan baharu ini tidak fokus dalam membantu golongan B40.

Najib sewajarnya tidak melepaskan kekecewaannya atas kekalahan BN dalam pilihan raya umum yang lepas kepada Pakatan Harapan dan kegagalannya dalam menyandang kedudukannya sebagai perdana menteri kepada Tun Dr Mahathir.

Beliau sepatutnya menerima hakikat bahawa rakyat sudah menolak kepimpinannya dan pelaksanaan GST serta muak dengan skandal korupsi 1MDB yang membabitkan wang rakyat sebanyak RM50 bilion.

LIM GUAN ENG ialah Menteri Kewangan, Setiausaha Agung DAP dan Anggota Parlimen Bagan. Tulisan ini asalnya kenyataan media beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysian Update.

No comments

Loading...